Festival Kraf Borneo 2018 yang bermula hari ini hingga 3 Dis depan di Dataran Lintasan Deasoka, dekat sini, dijangka meraih sasaran jualan sehingga RM800,000 menerusi penglibatan 110 usahawan kraf dari Sabah dan Sarawak.

Penolong Pengarah Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia Cawangan Sabah Easter Karen Robert Meisin berkata, menerusi festival tersebut, mereka berpeluang memperluaskan pemasaran produk berikutan festival tersebut merupakan tempat pertemuan antara pengusaha, peniaga dan pemborong hasil seni kraftangan seluruh negara.

“Ini sekali gus membantu meningkatkan pendapatan usahawan kraf tempatan,” katanya yang juga urusetia bahagian promosi festival itu kepada Bernama di sini, hari ini.

Festival anjuran Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia cawangan Sabah yang julung kali diadakan itu dijangka menarik kehadiran kira-kira 10,000 pengunjung sepanjang 11 hari berlangsung.

Easter berkata festival itu antara lain bertujuan menghimpunkan dan mengetengahkan keunikan serta kekayaan hasil seni kraf berkualiti termasuk tekstil dan makanan tradisional kedua-dua negeri.

Selain pameran dan jualan produk kraf, pelbagai acara menarik akan diadakan termasuk interaktif kraf yang membolehkan pengunjung menimba pengalaman menghasilkan kraf sendiri serta persembahan tarian dan muzik tradisional dari Sabah dan Sarawak.

Festival Kraf Borneo 2018 dijadual dirasmikan oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Kebudayaan Mohamaddin Ketapi pada 26 Nov ini.

Orang ramai boleh mengunjungi festival itu secara percuma bermula 9 pagi hingga 10 malam bagi Isnin hingga Jumaat dan 8 pagi hingga 10 malam untuk Sabtu dan Ahad.

Sementara itu usahawan songket dari Sarawak, Ramtiniwaiti Ramlee, 32, berkata, penyertaannya dalam Festival Kraf Borneo 2018 akan dimanfaatkan untuk melebarkan pasaran tenunan songket supaya lebih dikenali bukan hanya di Sarawak tetapi juga di seluruh Malaysia.

Haldah Lind, 47, usahawan produk kraftangan berasaskan hasil rimba dari Kota Belud pula berkata festival itu bukan sahaja sebagai landasan memperkenalkan dan memasarkan hasil kreativitinya, tetapi dapat memperluaskan rangkaian perniagaan.

(Video: Bernama WebTV, Youtube) 

(Bernama)

Share

VIDEO POPULAR