Naza Plantation Service Sdn Bhd (Naza Agro) merancang untuk menubuhkan sebuah syarikat pertanian menegak bagi mengembangkan hasil salad premium di Malaysia dan Asia Tenggara.

Naib Presiden, Abdul Razak Aya berkata pertanian menegak merupakan satu kaedah revolusi yang mampu mengeluarkan hasil tanaman yang lebih sihat, bebas daripada bahan kimia dan menjamin hasil tanaman untuk sepanjang tahun.

Ia membolehkan pengeluaran sayur-sayuran dalam cara yang mesra alam melalui kaedah yang lebih efektif serta menjimatkan ruang, katanya.

Naza Agro mahu menanam salad mentega, salad rom, kubis daun, argula liar dan sayur kai lan dalam ladang menegaknya.

“Hasil daripada ladang-ladang menegak di bawah bumbung ini, benar-benar bebas daripada racun perosak serta kandungan logam berat dengan paras nitrat yang sangat rendah dan beban bakteria.

“Ini akan membolehkan pengguna menikmati lebih banyak pilihan ke atas sayur-sayuran yang segar, selamat dan sangat berkhasiat,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di gerai Tropicale Naza semasa Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Antarabangsa (MAHA) 2018 di sini hari ini.

Pertanian menegak adalah amalan pengkebunan bagi membesarkan tanaman dalam lapisan menegak dan ia menggunakan idea-idea perladangan di bawah bumbung yang moden termasuk teknik persekitaran terkawal, di mana semua faktor-faktor persekitaran boleh dikawal.

Semalam, Naza Agro memeterai Memorandum Persefahaman dengan YesHealth Agri-Technology Co Ltd, Taiwan bagi bekerjasama untuk membangunkan satu perniagaan pertanian menegak berteknologi canggih di seluruh negara yang melibatkan pelaburan berjumlah RM35 juta.

Abdul Razak berkata YesHealth akan memberikan teknologi proprietari dan kepakarannya dalam amalan pertanian menegak yang mesra alam bagi menyampaikan hasil yang lebih tinggi berbanding dengan ladang-ladang tradisional yang lain.

Syarikat Taiwan itu juga akan bertanggungjawab membuat reka bentuk struktur ladang menegak itu termasuk menyediakan sokongan operasi, pengetahuan dan latihan kepada pengendali tempatan, manakala Naza Plantation akan membina kemudahan dan melaksanakan proses pengurusan, jualan serta rangkaian pengedaran.

Abdul Razak berkata menjelang suku ketiga tahun depan, penubuhan ladang-ladang menegak ini akan diselesaikan dan ia mampu menghasilkan 1.5 tan salad premium sehari.

Naza Agro, ditubuhkan pada 1995 sebagai cabang perniagaan agro Kumpulan Naza, ia terlibat dalam pengeluaran buah-buahan tropika dan memiliki serta menguruskan 3,118 ekar (1,261 hektar) ladang di Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan, ia juga menghasilkan nenas premium MD2 di bawah jenama ‘Tropicale’ untuk pasaran tempatan.

Abduk Razak berkata Naza Agro juga mahu mengembangkan simpanan tanah dan ladang buah-buahan tropikanya dengan tambahan 2,000 ekar (809 hektar) dalam tempoh dua tahun akan datang.

(Bernama)

Share

VIDEO POPULAR