Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menggesa atlet yang bersaing pada Para Sukan Malaysia (Sukma) Perak 2018 supaya mempamerkan prestasi cemerlang dengan menyematkan semangat ‘Malaysia Boleh’ dalam diri masing-masing

Sambil menyifatkan mereka sebagai insan luar biasa, beliau berkata penganjuran temasya sukan itu yang sebelum ini dikenali sebagai Sukan Paralimpiad merupakan platform terbaik bagi melahirkan atlet berbakat seterusnya membawa cabaran ke peringkat lebih tinggi dan mengambil alih tanggungjawab atlet senior.

“Temasya ini boleh menjadi pemangkin pembangunan Sukan Para di negara kita dan saya berharap atlet dapat memberikan komitmen yang padu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan pembukaan Para Sukma Perak 2018 di Stadium Indera Mulia di sini malam ini. Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri Howard Lee Chuan How.

Syed Saddiq seterusnya memuji kerajaan Perak yang berjaya menganjurkan temasya sukan tersebut yang diadakan dua bulan selepas berakhir Sukma ke-19 pada September lalu.

“Syabas kepada negeri Perak. Perak akan jadi kuasa sukan besar di negara kita satu hari nanti,” katanya.

Pembukaan temasya sukan edisi ke-19 yang berlangsung selama enam hari mulai hari ini, itu diserikan dengan pelbagai acara termasuk etnik drum, pertunjukan seni mempertahankan diri serta persembahan ‘light and sound’.

Terdahulu, Syed Saddiq menyempurnakan gimik menyalakan obor kejohanan yang dibawa empat atlet Para kontinjen Perak – Muhamad Ashraf Muhammad Haisham; Mohamad Yusuf Hafizi Sharuddin; Ahmad Kamil Wan Zainal Adzwan dan Hairul Fozi Saaba.

Majlis kemudian diteruskan dengan menaikkan bendera kejohanan oleh atlet renang Para Sukma Perak, Mohamad Nur Alif Mohd Tarmezan yang kemudian mengetuai lafaz ikrar temasya sukan berkenaan.

Seramai 2,046 atlet, pegawai, pengurus dan jurulatih dari 15 kontinjen mengambil bahagian dalam temasya kali ini.

Temasya sukan dwitahunan itu mempertandingkan 10 sukan – olahraga, renang, badminton, boccia, catur, memanah, pingpong, angkat berat, tenpin boling dan boling padang.

(Bernama)

Share

VIDEO POPULAR