Keputusan kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk tidak meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Pembasmian Diskriminasi Kaum (ICERD) diterima baik oleh ramai kalangan pemimpin.

Keputusan mengenainya disampaikan oleh Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan hari ini yang turut menyatakan bahawa kerajaan akan terus mempertahankan Perlembagaan Persekutuan yang termaktub perkara mengenai kontrak sosial yang dipersetujui oleh perwakilan dari semua kaum semasa pembentukkan negara.

Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berkata memang menjadi dasar Pakatan Harapan sejak awal dan PKR secara individu untuk sentiasa mempertahankan semua asas dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Itu (keputusan tidak meratifikasi ICERD) adalah hak dan bidang kuasa kerajaan Persekutuan. Sudah pasti mereka menyedari tentang perkara semasa, dan ia sangat berkait rapat dengan kedudukan Perlembagaan Persekutuan kita,” katanya ketika mengulas mengenai perkembangan itu.

Menteri Besar Terengganu Dr Ahmad Samsuri Mokhtar pula menyanjung keberanian Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad susulan keputusan kerajaan itu.

“Saya memuji tindakan berani Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad walaupun berdepan dengan tekanan pihak tertentu dari dalam dan luar negara,” katanya.

Ketua Badan Pimpinan Bersatu Melaka Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof pula menegaskan kerajaan PH akan terus mempertahan Perlembagaan Persekutuan yang di dalamnya sudah termaktub kontrak sosial.

Kontrak sosial berkenaan, tegas Menteri Pembangunan Usahawan itu, dipersetujui wakil semua kaum semasa pembentukan negara Malaysia.

Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata kerajaan negeri berpegang kuat kepada pengumuman itu dan berharap tidak ada lagi mana-mana pihak memperjuangkan usaha meratifikasi ICERD.

“Perkara ini mendapat bantahan banyak pihak termasuk persidangan Dewan Undangan Negeri Pahang sendiri yang pada Rabu lepas meluluskan usul membantah perkara ini, dan Alhamdulillah ia mendapat respons positif,” katanya.

Susulan keputusan itu, Menteri Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu pula menggesa semua pihak berhenti daripada menyentuh isu yang menimbulkan sensitiviti kaum di negara ini.

“Ini bukan masa rakyat Malaysia cakap pasal ini (sensitiviti kaum), banyak masalah lain yang perlu jalinan kerjasama, dan pastikan balik ke landasan terbaik,” katanya.

Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan pula menghargai keputusan kerajaan itu yang disifatkannya tegas dan berprinsip.

“Ia sudah pastinya menjawab dan memberi penamat kepada pelbagai spekulasi dan pertikaian panas yang kita lihat selama ini. UMNO akan terus memberi kerjasama serta sokongan kepada kerajaan Pakatan Harapan dalam sebarang usaha yang membawa kebaikan serta kesejahteraan dalam hubungan antara kaum di Malaysia.

“UMNO turut komited untuk terus membantu menambah baik formula keharmonian kaum yang kita bina dan amalkan selama ini,” katanya.

Ketua Pemuda UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata pergerakan itu berpuas hati dengan keputusan itu yang sejajar dengan kehendak rakyat.

Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata parti itu menyambut baik keputusan berkenaan, dan menurutnya satu perhimpunan bulan depan di ibu negara yang pada asalnya bertujuan membantah ratifikasi ICERD dijangka diteruskan, namun bertukar format kepada himpunan kesyukuran rakyat.

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Datuk Ibrahim Ali berharap keputusan tidak meratifikasikan ICERD itu kekal dan tidak lagi dibangkitkan pada masa akan datang.

“Perkasa menerima baik keputusan ini dan mahu ia kekal sampai bila-bila, muktamad tolak, maknanya tolak terus,” katanya.

(Bernama)

Share

VIDEO POPULAR