Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mahu Malaysia bukan sekadar menjadi pemain sukan elektronik (e-sports) tetapi juga berkemampuan membangunkan permainan itu dan mengeksportnya ke luar negara.

Menterinya Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, negara boleh meraih pulangan yang lumayan daripada industri e-sports, dari segi pelaburan asing, kewujudan peluang pekerjaan berkualiti dengan gaji yang tinggi dan sebagainya.

“Kita mahu anak-anak muda di Malaysia bukan sekadar main ‘game’ tetapi juga boleh membangunkan ‘games’ (permainan) dan mengeksportnya ke luar. Ia menjana pendapatan untuk negara selain mewujudkan peluang pekerjaan berkualiti,” katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata demikian selepas meninjau kemudahan di Thailand E-Sports Arena, di sini, yang merupakan arena e-sports terbesar di Thailand.

Syed Saddiq berkata, kementeriannya telah menjalin kerjasama dengan Malaysia Digital Economy Corporation Sdn. Bhd. (MDEC) dan pemain-pemain industri lain dalam usaha melahirkan lebih ramai anak muda yang boleh membangunkan permainan e-sports.

Katanya, ramai anak muda Malaysia yang berkebolehan membangunkan perisian permainan e-sports tetapi, terpaksa berhijrah ke luar negara berikutan kekurangan peluang ditawarkan dalam negara.

Beliau meminta anak-anak muda yang berbakat itu untuk pulang ke Malaysia, kerana kerajaan kini berusaha menarik minat syarikat pemaju perisian e-sports untuk melabur dalam negara, seterusnya mewujudkan peluang pekerjaan berkualiti tinggi kepada mereka.

Terdahulu, Menteri Belia dan Sukan itu turut melawat ‘True Axion Interactive and Games Academy’ yang disifatkan sebagai “kilang e-sports” di Thailand, dengan diantara 200 hingga 300 anak muda dibayar gaji lumayan untuk menghasilkan permainan e-sports.

“Mereka dibayar antara US$1,500 hingga US$3,000 sebulan untuk menghasilkan ‘Triple A’ games,” katanya dan menambah, Malaysia tidak boleh kalah dengan Thailand, Singapura serta Indonesia dalam membangunkan industri berkaitan e-sports ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pencetus Thailand E-Sports Arena, Jirayod Thepipit berkata, e-sports adalah satu industri yang agak besar di Thailand dengan lebih daripada 10 juta orang bermain permainan elektronik.

“Bagaimanapun, kebanyakan mereka bermain untuk suka-suka dan bukan atas dasar profesional. Kita mahu melahirkan lebih ramai professional,” katanya dan menambah, Arena merupakan pusat e-sports terbesar di Thailand dengan kawasan meliputi lebih daripada 1,0000 kaki persegi.

Arena ini yang terletak di Jalan Ratchadapisek di Bangkok ini mampu menempatkan 700 pemain e-sports dalam satu masa dan boleh digunakan untuk semua jenis permainan e-sports, katanya.

(Video: Bernama WebTV, Youtube) 

(Bernama)

Share

VIDEO POPULAR