Kesibukan tugas di Dewan Rakyat dan sebagai presiden PKR, tidak menjadi halangan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk sentiasa menyatuni rakyat di sini.

Anggota Parlimen Port Dickson itu berkata sokongan padu yang diberi pengundi di sini memberi tanda ia sebagai mandat kuat yang diberi oleh rakyat untuk membawa suara mereka ke peringkat atasan.

“Saya jalankan tugas di sini mungkin dah kali keenam atau ketujuh, saya nak bagi contoh baik kepada Anggota Parlimen dan ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) supaya rajin turun padang.

“Kalau hujung minggu saya tak boleh datang, saya akan datang semasa hari berkerja, sama ada petang atau malam,” katanya semasa berucap di hadapan lebih 2,000 hadirin di Majlis Kesyukuran Kemenangan Datuk Seri Anwar Ibrahim di Parlimen Port Dickson di Dewan Homestay Kampung Pachitan, Lukut, dekat sini hari ini.

Turut hadir Menteri Besar, Aminuddin Harun dan ADUN Chuah, Michael Yek Diew Ching.

Anwar berkata walaupun baru menjadi ahli Dewan Rakyat, beliau sempat membahaskan belanjawan yang dibentangkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng pada awal bulan ini.

“Kita tahu ramai yang keluh-kesah sebab beberapa subsidi telah dipotong, seperti bantuan kepada penoreh dan nelayan.

“Menteri Kewangan berkata ada bantuan yang tiris dan tidak sampai ke akar umbi, namun bila saya buat rayuan, beliau segera bangun dan berjanji untuk mengkaji semula dan serah balik bantuan kepada rakyat,” katanya.

Sambil mengucapkan tahniah kepada jentera pilihan raya kecil yang membantu kemenangannya, Anwar berjanji untuk cuba mengatasi isu yang melanda penduduk setempat.

“Baru-baru ini, kerap berlaku banjir kilat di Port Dickson. Tiap-tiap minggu ada banjir di sini.

“Saya ingat kita akan berbincang dengan Majlis Perbandaran Port Dickson dan kerajaan negeri untuk bagaimana cara atasi masalah banjir ini secara menyeluruh,” katanya.

Sementara itu, Anwar meluangkan masa bertemu dengan kira-kira 10 persatuan badan bukan kerajaan (NGO) Melayu dalam satu majlis santai di restoran King’s Char Kuew Tiaw, di sini.

Dalam majlis anjuran Pusat Khidmat Masyarakat Parlimen Port Dickson itu, kira-kira 100 tetamu terdiri daripada belia dan NGO sekitar Port Dickson menghadiri majlis itu.

Antara NGO yang hadir iaitu Kelab Memanah ZR1, Persatuan Silat Gayung dan Kelab Vespa Port Dickson.

Pada majlis itu, Anwar turut mengumumkan pemberian peruntukan kecil kepada persatuan berdaftar untuk kegiatan pengurusan dan kebajikan ahli.

“Saya harap dalam seminggu dua kita akan dapat peruntukan kecil ini,” katanya.

(Bernama)

Share

VIDEO POPULAR