Sebanyak 1,000 jaket keselamatan diedarkan secara percuma kepada penunggang motosikal yang melalui Lebuhraya Guthrie Koridor (GCE) di sini, bagi meningkatkan kesedaran mengenai keselamatan jalan raya.

Ketua Bahagian Keselamatan Kesihatan dan Alam Sekitar Velesto Energy Berhad, Aminudin Hambali berkata, program itu bertujuan mengurangkan kadar kemalangan yang melibatkan penunggang motosikal.

“Program dengan kerjasama Prolintas ini diadakan buat julung kalinya untuk meningkatkan kesedaran penunggang motosikal tentang bahaya menunggang motosikal jika tidak memakai jaket pemantul cahaya ini.

“Velesto Energy adalah syarikat minyak dan gas yang sangat mementingkan keselamatan di tempat kerja, jadi kami mahu berkongsi kesedaran ini bersama komuniti di sini,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Turut hadir Pengurus Bahagian Komunikasi Korporat Prolintas, Badri Ibrahim.

Aminudin berkata, program seperti ini akan terus diadakan dari masa ke semasa bagi memastikan keselamatan penunggang motosikal terjamin.

Dalam pada itu, Badri berkata walaupun kadar kemalangan tidak banyak dilaporkan berlaku di lebuhraya tersebut, namun pihaknya ingin mengambil langkah awal bagi mengelakkan berlakunya kemalangan membabitkan penunggang motosikal.

“Lebuhraya GCE ini memang kami galakkan penunggang motosikal untuk menggunakan laluan yang disediakan dan kami telah membuat laluan itu sepanjang lebuhraya ini, tetapi masih ada menggunakan laluan utama yang lebih terdedah kepada risiko kemalangan.

“Jadi kami mengambil kesempatan ini untuk meningkatkan kesedaran keselamatan kepada penunggang dan pembonceng motosikal, kami juga berterima kasih kepada Velesto Energy kerana sudi bekerjasama untuk menjayakan program ini,” katanya.

(Bernama)

Share

VIDEO POPULAR