Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng menegaskan pihaknya tidak pernah membangkitkan isu Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) supaya diratifikasi di negara ini.

Beliau berkata tuduhan tersebut dilihat bertujuan membakar sentimen perkauman dan kebencian dalam masyarakat di negara ini.

“Saya rasa semua orang pun tahu bahawa isu itu (ICERD) tidak dibangkitkan oleh pihak kami DAP. Siapa yang bangkitkan itu…bukan kamilah.

“Itu sentimen perkauman yang cuba dibakar, kita tidak timbul langsung perkara ini dan pihak berkenaan cuba mengaitkan DAP atas tujuan politik mereka,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Semalam, sebuah gabungan NGO mendakwa isu ICERD merupakan agenda tersembunyi DAP bagi menghapuskan hak istimewa orang Melayu-Islam di negara ini.

Sehubungan itu, Lim mendesak gabungan NGO tersebut supaya memohon maaf dan menarik semula kenyataan serta tuduhan fitnah terhadapnya atau berdepan tindakan undang-undang.

“Mereka dakwa kononnya saya mengarahkan peruntukan program Pusat Kreativiti dan Inovasi Global Malaysia (MaGIC) berjumlah RM200 juta yang sepatutnya kepada anak Melayu tetapi diberikan kepada tokong Cina, itu satu fitnah jahat kerana tiada langsung pun seperti sedemikian.

“Yang membuat fitnah dan tohmahan ke atas saya, itu amat bahaya kerana mereka hendak bakar dan hasut sentimen supaya lebih ramai keluar menyertai perhimpunan membantah ICERD, 8 Disember ini,” katanya.

Lim yang juga Menteri Kewangan berkata, atas nasihat peguam, beliau akan membuat laporan polis terhadap NGO terbabit atas tuduhan jahat yang dilemparkan.

(Bernama)

Share
Tags: Kategori: Nasional

VIDEO POPULAR