Seramai 80 orang murid kurang berkemampuan di negeri ini menerima bantuan awal persekolahan bagi sesi akademik 2019 daripada Bank Simpanan Nasional (BSN) Kelantan bernilai RM16,000.

Program ‘Jom To School With BSN’ yang julung kali diadakan di negara ini bermula 15 Nov lalu di Kuala Lumpur dan melibatkan tiga belas negeri lain antaranya Kelantan, Perak, Pahang dan Sabah sebelum berakhir di Terengganu pada 24 Nov ini.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh BSN Kelantan, penganjuran program itu adalah sebahagian tanggungjawab sosial korporat BSN yang sedia maklum persiapan persekolahan menjadi kekangan bagi sesetengah keluarga terutama yang kurang berkemampuan.

Seramai 80 murid yang menerima bantuan hari ini adalah dari 6 buah sekolah dari sekitar negeri ini, iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Hor, Kota Bharu; SK Langgar, Kota Bharu; SK Kubang Kerian 1, Kota Bharu; SK Islah, Kota Bharu; SK Pauh Sembilan, Bachok, dan SK Bukit Jawa 1, Pasir Puteh.

Pelajar tahun 2 hingga 5 yang dipilih itu masing-masing menerima bantuan kelengkapan sekolah bernilai RM150 termasuk baju dan kain sekolah, stokin,kasut sekolah, alat tulis dan pihak BSN juga turut mendepositkan RM50 ke dalam akaun pelajar yang menerima sumbangan bantuan persekolahan itu.

Sementara itu, murid tahun 2 dari Sekolah Kebangsaan Pasir Hor, Khairunisa Ismail Sauki ketika ditemui berkata, dia amat bersyukur kerana terpilih untuk menerima sumbangan tersebut.

“Memandangkan ibu tidak berkerja, dan ayah hanya bekerja kampung, jadi saya tidak mengharapkan mereka memberi pakaian seragam sekolah yang baru, kerana menyedari ketidakmampuan mereka, jadi dengan adanya bantuan ini saya sangat bersyukur ia sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban mereka,” katanya.

Nur Amirah Mohd Nordin, 11, dari Sekolah Kebangsaan Pasir Hor pula berkata segala bantuan yang diterima akan menjadi pendorong kepadanya untuk memberi lebih tumpuan dalam pelajaran.

“Walaupun keluarga kurang berkemampuan itu tidak bermakna kita tidak boleh mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan kerana sebagai pelajar miskin, saya memegang kepada prinsip usaha tangga kejayaan,” katanya.

(Bernama)

Share
Tags: Kategori: Tempatan

VIDEO POPULAR