Kerajaan Negeri melalui Majlis Sukan telah membayar sejumlah RM246,800 untuk insentif kepada atlet yang memenangi pingat pada Kejohanan Sukan Malaysia (Sukma) Ke-19 di Perak baharu-baharu ini.

Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Datuk Seri Mohd Johari Hussain berkata ia pemberian khas di bawah Skim Hadiah Kecemerlangan Majlis Sukan Pahang untuk atlet yang memenangi sebarang pingat pada kejohanan Sukma, Sukan SEA, Sukan Asia, Sukan Olimpik dan Sukan Komenwel.

“Kerajaan Negeri sentiasa memberi perhatian kepada perkembangan sukan di negeri ini dan kita memang amat mengambil berat tentang pencapaian serta kebajikan atlet di negeri ini sama ada di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa.

“Pada kejohanan Sukma baharu-baharu ini Kontijen Negeri Pahang meraih 33 pingat emas, 20 pingat perak, serta 30 pingat gangsa sebagai satu pencapaian membanggakan dan melebihi 32 sasaran pingat emas yang ditetapkan sebelum ini.

“Sebagai menghargai jasa dan pengorbanan mereka, ganjaran melalui Skim Hadiah Kemenangan Sukan telah disalurkan ke akaun atlet 24 jam selepas keputusan rasmi dikeluarkan penganjur,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Ke-14 di sini sebagai menjawab soalan Lee Chin Chen (PKR-DAP) yang bertanyakan mengenai ganjaran yang diterima oleh atlet yang mewakili Pahang dalam Sukma baharu-baharu ini.

Mohd Johari berkata untuk itu Kerajaan Negeri bersetuju memberikan sebanyak RM2,000 untuk pemenang pingat emas, perak (RM2,000), gangsa (RM1,000), berpasukan kurang daripada lima orang (RM2,000 setiap atlet), perak (RM1,000), gangsa (RM750).

Sementara untuk acara berpasukan lebih daripada lima orang, setiap atlet menerima RM1,000, perak (RM600) dan gangsa (RM400).

(Bernama)

Share
Tags: Kategori: Sukan

VIDEO POPULAR