Pihak swasta terutama hotel yang mempunyai kolam renang di premis mereka disaran membantu memudahkan pihak sekolah menyediakan aktiviti renang untuk para pelajar mereka.

Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik berkata pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan pihak hotel mengenai perkara itu supaya ia ditawarkan sebagai salah satu Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) mereka.

“Kita juga berharap lepas pengumuman ini, pihak hotel akan bertindak proaktif untuk mengambil inisiatif sendiri,” katanya pada sidang media selepas melancarkan program ‘Life Saving Skills’ dan modul Kesedaran Keselamatan dan Menyelamat di Air 2018 di sini hari ini.

Maszlee dilapor berkata, mulai tahun depan kegiatan kokurikulum belajar berenang bakal diperkenalkan kepada murid sekolah dalam usaha kementerian mempersiapkan mereka dengan kemahiran itu, sekali gus menangani insiden lemas.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa saranan supaya hotel menawarkan premis mereka hanya sebagai usaha kementerian untuk menambah lokasi belajar renang sekolah.

“Pelan asalnya ialah membawa mereka ke pusat-pusat sukan dan kolam renang awam. Kami cuma mengges pihak hotel agar dapat melaksanakan tugas CSR,” katanya menambah saranan itu berikutan tidak semua sekolah dilengkapi dan berdekatan dengan kolam renang.

Ditanya sama ada aktiviti belajar renang akan dijadikan satu kokurikulum wajib, katanya kerajaan mempunyai rancangan untuk menjadikan ia silibus wajib bermula dari prasekolah sehingga sekolah menengah, namun ia akan mengambil masa yang panjang, memandangkan terdapat kira-kira 10,000 buah sekolah di seluruh negara.

Terdahulu, dalam ucapannya, Maszlee berkata buat masa ini, aktiviti renang dijalankan melalui kelab dan persatuan sebagai kegiatan kokurikulum dengan pelajar diajar berdasarkan modul-modul oleh agensi berdaftar dengan kementerian berpandukan garis panduan pelaksanaan aktiviti kokurikulum sedia ada.

Modul yang dilancarkan hari ini adalah julung kali diadakan dan amat bermakna selain tepat pada masanya bagi menunjukkan komitmen kementerian menyebar luas kesedaran dan kepentingan keselamatan dan menyelamat di air.

(Bernama)

Share

VIDEO POPULAR