Selangor menjadi negeri pertama melaksanakan perkhidmatan pendaftaran Kad MyRadha’ah (susuan) khas untuk ibu dan anak susuan, menerusi Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) yang bertujuan mengelakkan masalah kekeliruan nasab atau keturunan.

Pengarah JAIS, Datuk Haris Kasim berkata pihaknya mengambil insiatif itu supaya tidak berlaku perkahwinan melibatkan adik beradik susuan selain menjaga keturunan orang Islam melalui nikah yang sah.

“Wanita yang mempunyai anak susuan boleh daftar untuk dapatkan Kad MyRadha’ah. Kad ini akan digunakan ketika mengisi borang perkahwinan pada masa akan datang, di mana kita akan kemuka pertanyaan adakah mereka (bakal pengantin) merupakan saudara sesusuan atau tidak.

Kita akan semak (rekod) jika anak-anak susuan ini ada pertalian dengan bakal pengantin masing-masing kita akan beri nasihat dan minta mereka memikirkan semula kehendak untuk berkahwin,” katanya kepada pemberita selepas perasmian Simposium Radha’ah 2018 yang disempurnakan oleh Menteri Besar Selangor Amirudin Shari di sini, hari ini.

Simposium sehari itu mempunyai matlamat untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai hukum Radha’ah, mendedahkan maklumat yang tepat mengenai prosedur pendaftaran Radha’ah di JAIS serta menambah baik persepsi kaum ibu mengenai amalan penyusuan dari segi konsep klinikal, etika dan perkongsian susu ibu.

Menurut Haris, JAIS telah mula mengumpulkan data berkaitan ibu dan anak susuan dalam kalangan orang awam di Selangor sejak tahun lepas, yang mana sehingga kini 120 orang telah mendaftarkan diri sebagai ibu dan anak susuan.

Beliau berkata ibu susuan yang masih belum mendaftar boleh berbuat demikian di pejabat JAIS di seluruh daerah di Selangor atau di ibu pejabat JAIS di sini.

“Sistem ini masih dalam status projek perintis dan kita akan laksanakannya secara berperingkat. Kita harap dapat kerjasama daripada semua pihak dan tidak mustahil satu hari nanti kita akan buat pendaftaran secara dalam talian, tetapi untuk permulaan ini kita akan daftar secara manual dan ianya adalah percuma,” katanya.

Terdahulu, Amirudin dalam ucapannya berkata, pada 2012, Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor telah mewartakan fatwa mengenai wanita yang menyusukan anak angkat, yang mana diharuskan wanita yang tidak melahirkan anak tetapi mengambil anak angkat untuk menyusukan sendiri anak tersebut dengan bantuan rawatan perubatan.

Maka, beliau berkata, kerajaan negeri melalui Mesyuarat Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam Negeri Selangor telah meluluskan dan bersetuju dengan cadangan JAIS memperkenalkan Kad MyRadha’ah bagi mengenal pasti identiti saudara susuan, yang tidak boleh berkahwin sesama mereka menurut undang-undang Islam.

“Sepertimana anak angkat telah mendapat kedudukan dalam Akta Pendaftaran Pengangkatan 1952, seharusnya pendaftaran anak susuan ini perlu diberi perhatian agar perkembangan pelaksanaannya di seluruh negara dengan mengambil punca kuasa perundangan di peringkat persekutuan pada masa akan datang.

Justeru itu, oleh kerana langkah pertama ini merupakan perkara baharu yang diperkenalkan, kerajaan negeri berharap usaha memperkemaskan prosedur operasi standard (SOP) pendaftaran Radha’ah ini diteruskan agar lebih efektif dan efisyen,” katanya. 

(Video: Bernama WebTV, Youtube) 

(Bernama)

Share

VIDEO POPULAR