Semenjak empat tahun lepas seorang wanita gigih berusaha dan tidak pernah berputus asa dalam kajiannnya untuk mengenalpasti cara terbaik untuk mengendalikan sisa organik serta menghasilkan makanan terbaik bagi haiwan.

Tambah menarik , pengasas Aquavermiponic Sdn Bhd, Amelia Lim Wen Ching, tidak mempunyai pengalaman dan kemahiran asas dalam bidang ini, tetapi berkat usaha gigihnya untuk mencari cara yang paling berkesan mengurangkan sisa dapur, semua kerja keras beliau akhirnya berbaloi.

Berkongsi pengalamannya dengan Bernama, Lim, yang sebelum ini bekerja di sektor korporat, berkata Aquavermiponic berurusan dengan pengurusan sisa makanan yang bertujuan untuk mengurangkan sisa makanan untuk kebersihan alam sekitar dan amalan gaya hidup sihat melalui proses pengkomposan ulat atau vermicompost.

Mendapat julukan “Worm Lady”, wanita berusia 38 tahun itu berkata menerusi aplikasi vermicompost, Aquavermiponic menggunakan dua jenis ulat, iaitu ulat super dan larva lalat askar hitam untuk menjadikan sisa organik menjadi kompos yang sangat tinggi, yang menyebabkan kurang bergantung pada mekanisasi, baja dan bahkan air.

“Ulat Super memerlukan pengawasan yang tinggi dari segi kebersihan untuk berkembang dengan kualiti yang tinggi. Untuk lalat askar hitam , larva ini tumbuh dengan baik di negara tropika kita dan alternatif terbaik untuk mengekalkan sumber protein untuk makanan haiwan.

“Semua ulat diberi makan dengan formula istimewa kami untuk memastikan proses vermicompost itu berkualiti tinggi,” kata Lim yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Sains Sosial (Pengajian Komunikasi) dari Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).

Menurut Lim, pada masa ini, Aquavermiponic menghasilkan kompos organik selain membekalkan ulat super kepada sektor makanan dan minuman (F & B) di bandaraya Kuching.

Lim juga berkata 10 pembekal akan menghantar sisa organik kepada mereka setiap hari.

“Terdapat pelbagai sisa organik atau sisa dapur seperti sayur atau buah-buahan yang sudah rosak. Kami boleh menguruskan purata 500 kilogram sisa organik setiap hari.

“Aquavermiponic juga mempunyai ladang yang terletak di Jalan Kuching-Serian di mana kami mengadakan pertanian kontrak dengan beberapa penduduk sekitar di mana mereka latih cara membiak dan memelihara ulat super dan larva lalat askar hitam dan dan mereka kemudian menjual kembali produk itu kepada kami, “katanya.

Beliau berkata pihaknya berupaya menjual ratusan kilogram ulat super kepada sektor F&B dalam setiap bulan serta antara dua hingga tiga tan kompos yang dihasilkan oleh larva lalat askar hitam.

“Pada masa ini kami juga mempunyai usaha sama dengan UNIMAS dengan mendapatkan pelatih bagi menjalankan penyelidikan projek makanan pertanian. Selepas beberapa pemerhatian tahun ini, kami berjaya mendapatkan beberapa data positif untuk menjalankan beberapa penyelidikan pelbagai jenis ikan seperti talapia dan empurau (ikan kelah); udang harimau dan ketam lumpur.

“Dari sana, menunjukkan hasil yang baik dan positif dan kemungkinan pada tahun depan kami boleh mengeluarkan makanan haiwan,” katanya.

Lim berkata bagi meningkatkan penghasilan larva lalat askar hitam, Aquavermiponic sedang membina sebuah ladang baharu di Matang di sini.

“Saya telah mendapatkan beberapa pelabur untuk membina ladang yang apabila siap nanti akan menjadi ladang serangga terbesar di Sarawak,” katanya sambil menambah bantuan dari mana-mana agensi berkaitan atau kerajaan negeri dialu-alukan untuk membantu mendidik lebih ramai orang mengenai vermicompost.

“Dengan cara lain, kami membantu petani untuk menjimatkan kos dan menjana lebih banyak pendapatan untuk Sarawak,” katanya.

(Video: Bernama WebTV, Youtube) 

(Bernama)

Share

VIDEO POPULAR