Jaguh golf negara Gavin Kyle Green berazam untuk mempamerkan prestasi cemerlang bersama-sama rakan sepasukan Ben Leong pada penampilan sulung mereka dalam Kejohanan Piala Dunia Golf 2018 yang bermula Khamis ini di Melbourne, Australia. 

Juara Asian Tour Order of Merit 2017 itu berkata bagaimanapun keadaan cuaca yang dijangka hujan mampu merencatkan prestasi untuk bersaing dengan 27 lagi pasangan pada kejohanan yang akan berlangsung di Metropolitan Golf Club itu.

“Ben dan saya akan menyusun strategi dan lakukan apa sahaja yang perlu kami lakukan. Harapnya kami berjaya melaksanakannya,” kata anak muda itu yang dipetik oleh laman sesawang Jelajah Asia www.asiantour.com, hari ini.

Katanya keadaan angin juga dijangka kuat dan situasi tersebut bakal menyukarkan lagi permainan di padang berkenaan.

Mengulas lanjut, pemain berusia 24 tahun yang menjulang kejuaraan Jelajah Asia pertamanya di Taiwan tahun lepas, berkata beliau dan Leong saling mengenali cara permainan masing-masing selepas bersama-sama menyertai beberapa kejohanan di Malaysia.

“Kami tidak rugi apa-apa pada kejohanan ini, justeru kami hanya akan keluar dan lakukan yang terbaik. Kami sudah bersedia dengan percaturan kami,” katanya.

Leong yang dipilih oleh Green, berharap dapat membalas keyakinan yang diberikan oleh Green itu dengan melakukan yang terbaik di Melbourne.

“Saya rasa bagus. Seperti yang Green katakan, kami hanya perlu pastikan permainan kami seperti yang dirancang,” kata Leong yang meraih kejuaraan sulung Jelajah Asianya pada 2008.

Green dan Leong akan bermain menentang pasukan Zimbabwe yang diwakili Scott Vincet dan Benjamin Follet-Smith pada perlawanan pertama kejohanan yang menggunakan format ‘fourball’.

Pencapaian terbaik Malaysia ialah pada 1994 apabila M. Ramayah dan mendiang P. Gunasegaran menamatkan saingan di tangga kesembilan pada kejohanan di Puerto Rico manakala edisi 2006 di Melbourne pula menyaksikan pasangan Danny Chia dan Nicholas Fung berakhir di kedudukan ke-22.

(Bernama)

Share

VIDEO POPULAR