Bekas juara remaja dunia, Ng Eain Yow meneruskan kemaraannya ke pusingan ketiga Kejohanan Skuasy Terbuka Hong Kong 2018.

Pemain bukan pilihan kejohanan itu, menewaskan Joshua Masters dari England, 7-11, 11-8, 11-4, 11-9 dalam perlawanan pusingan kedua di Pusat Skuasy Hong Kong, hari ini menurut laman sesawang kejohanan, www.hongkongopen.info.

Bagaimanapun, Ng berhadapan laluan sukar apabila dijadualkan bertemu dengan pemain pilihan ketujuh, Mohamed Abouelghar pada pusingan ketiga Khamis ini, selepas pemain Mesir itu menewaskan seorang lagi wakil negara, Mohd Nafiizwan Adnan, 11-3, 11-6 dan 11-2 di dalam satu lagi perlawanan pusingan kedua.

Ratu skuasy negara, Datuk Nicol David yang mendapat bai dalam pusingan pertama, akan memulakan aksinya menentang Millie Tomlinson dari England dalam perlawanan pusingan kedua, esok.

Nicol yang merupakan juara 10 kali kejohanan ini, merupakan wakil tunggal Malaysia yang masih tinggal untuk bertanding dalam kejohanan ini selepas tiga yang lain — Low Wee Wern, Rachel Arnold dan S.Sivasangari tewas dengan lawan masing-masing dalam perlawanan pembukaan, semalam.

(Bernama)

Share

VIDEO POPULAR