Kerja pembalakan di Hutan Simpan Gunung Inas dekat sini hanya diluluskan untuk projek ladang hutan bagi penanaman semula pokok balak dan bukannya untuk penanaman pokok durian jenis ‘Musang King’.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Masyarakat Cina dan Siam, Sains dan Teknologi, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar Kedah Ooi Tze Min berkata ini kerana pihaknya mendapati kelulusan Laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) untuk penanaman semula pokok balak sahaja kepada syarikat konsesi pembalakan terlibat.

“Saya tidak tahu tentang nak tanam durian ‘Musang King’ ini sebab di bawah pengetahuan saya, kerja pembalakan ini untuk ladang hutan tanam semula pokok balak, dan EIA juga hanya diluluskan untuk (tanam) pokok balak sahaja pada,” katanya kepada pemberita semasa perjumpaan Presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (PEKA) Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil bersama penduduk kampung yang membantah kerja pembalakan itu hari ini.

Turut serta dalam perjumpaan itu Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Membantah Projek ‘Musang King’ dan Pembalakan di hutan simpan itu Ishak Hamzah.

Bagaimanapun, Ooi berkata pihaknya akan meminta Jabatan Perhutanan negeri ini menyiasat perkara itu, dan sekiranya didapati benar syarikat konsesi berkenaan merancang untuk menanam pokok durian itu maka tindakan tegas akan diambil kepada mereka.

“Ada perbezaan antara (tanam pokok) balak dan durian. Balak tak perlu baja sebab tahan lasak. Durian perlu baja. Bila ada baja akan sebabkan pencemaran…durian ini sensitif, perlu penjagaan lebih banyak.

(Selain itu), bila ada kata tanam durian untuk agropelancongan, adakah orang awam boleh masuk dalam hutan simpan? Orang awam tak dibenarkan masuk ke dalam hutan simpan,” katanya.

Sementara itu, Ishak mendakwa pihaknya mengetahui tentang kerja pembalakan untuk penanaman pokok durian itu daripada pekerja pembalakan di situ sehingga menimbulkan kebimbangan penduduk kampung terutamanya boleh menjejaskan bekalan air masyarakat bagi kegunaan kira-kira 12,000 penduduk dari 17 kampung di situ.

(Bernama)

Share

VIDEO POPULAR