Tiga parti komponen Pakatan Harapan (PH) Labuan sedia menerima lebih 300 bekas anggota MIC Labuan yang pembubarannya diumumkan pada Ahad.

Pengerusi PH Labuan yang baru dilantik, Simsudin Sidek berkata bekas anggota MIC terbabit boleh menyertai sama ada Parti Amanah Negara (Amanah), PKR atau DAP. 

PH Labuan khususnya PKR tidak akan menyenarai hitam bekas pemimpin MIC dan anggotanya yang mahu menyertai PKR, kata Simsudin yang juga Ketua PKR Labuan pada sidang media selepas mengumumkan barisan kepimpinan baharu PH Labuan bagi penggal 2018-2021, di sini hari ini (20hb).

Menurutnya langkah itu seiring dengan hasrat PH yang mahu memperkukuh perpaduan rakyat.

Pada Ahad lepas, Pengerusi MIC Labuan Datuk Ramasamy Rengasamy dilapor mengumumkan pembubaran MIC pulau itu dengan anggotanya mengumumkan sokongan kepada kerajaan PH.

Sementara itu, Pengarah Strategik Amanah Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad sebelum dilaporkan berkata parti tersebut bersedia menerima bukan Islam sebagai anggota, malah boleh diangkat menjadi pemimpin parti.

(Bernama)

Share

VIDEO POPULAR