Jabatan Kesihatan Kelantan mengakui tahap kebersihan kawasan tadahan air bukit di tiga buah kampung dekat Pulai Chondong, Machang tidak terjamin disebabkan wujud penanaman pokok getah di situ.

Pengarahnya, Dr Zaini Hussin berkata, meskipun dipasang penapis air di situ ianya tidak akan menyelesaikan masalah pencemaran air disebabkan aktiviti pertanian.

Beliau berkata daripada siasatan dan pemantauan pihaknya ke kawasan berkenaan mendapati ada pemilik tanah melakukan aktiviti penanaman getah yang dikhuatiri boleh mencemarkan sumber air berkenaan.

“Sebelum ini kita sudah menghantar pegawai untuk membuat pemeriksaan ke situ dan mengesan wujud pencemaran disebabkan aktiviti penanaman getah di kawasan tanah persendirian di Kampung Dewan Kecil.

“Disebabkan itulah kita percaya kawasan tadahan air bukit di situ berisiko dan kemungkinan boleh menyebabkan berlaku masalah kesihatan seperti cirit birit,” katanya ketika dihubungi, hari ini (20hb).

Dalam perkembangan sama, Dr Zaini menjelaskan jabatan itu turut memohon peruntukan daripada Kementerian Luar Bandar untuk membina penapis air seperti yang dinyatakan oleh penduduk tiga kampung iaitu Kampung Dewan Kecil, Dewan Besar dan Batu Berdiri.

Beliau berkata peruntukan itu yang dijangka antara RM10,000 hingga RM15,000, akan dibuat pada tahun hadapan.

Sebelum ini penduduk di tiga buah kampung berkenaan yang menggunakan air dari Bukit Cabang Tongkat di situ sejak 30 tahun lalu khuatir air bukit berkenaan tercemar akibat aktiviti pertanian dan mengharapkan Jabatan Kesihatan dapat membuat pemantauan agar terjamin kebersihannya terutama di musim tengkujuh serta kemarau.

(Bernama)

Share

VIDEO POPULAR