Syarikat Malaysia digesa memanfaatkan peluang besar yang ditawarkan China dalam usaha meningkatkan perdagangan pertanian antara kedua-dua negara.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Sim Tze Tzin berkata China merupakan antara rakan dagang utama Malaysia pada 2017, dengan nilai import keseluruhan kira-kira RM164.50 bilion dan nilai eksport RM126.15 bilion.

“Dari segi perdagangan pertanian antara kedua-dua negara, nilai dagangan adalah sebanyak RM24.63 bilion pada 2017, dengan nilai import Malaysia pada RM11.77 bilion,” katanya semasa berucap pada majlis meraikan Persatuan Alumni Bantuan China Malaysia (CAAAM) di sini, hari ini.

Sim berkata kerajaan Malaysia dan China menjalinkan kerjasama erat selama ini.

Antara usaha yang dianjurkan termasuklah pelbagai lawatan dan perbincangan tahunan untuk memudah cara peluang perdagangan antara Malaysia dan China, katanya.

“Terdapat banyak perkembangan antara kedua-dua negara dalam sektor pertanian dan banyak lagi potensi yang boleh diteroka untuk manfaat bersama,” katanya.

Sementara itu, Duta China di Malaysia, Bai Tian berkata di bawah kepimpinan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, Malaysia akan memulakan lembaran baharu dalam mencapai pembangunan ekonomi pesat pada masa depan yang boleh dijangka.

“Hubungan China-Malaysia juga berada di titik permulaan baharu, dan kedua-dua negara telah melaksanakan dan akan terus mempunyai lebih banyak kerjasama praktikal, termasuk dalam bidang pembangunan sumber manusia,” katanya.

Mengatakan bahawa China sebagai rakan kerjasama yang setia dan ikhlas, Bai Tian menekankan bahawa China sentiasa bersedia untuk meneruskan sokongannya kepada kerajaan dan rakyat Malaysia bagi meneruskan pembangunan dan kemakmuran bersama.

Beliau turut menyifatkan hubungan ini sebagai “asas kukuh, potensi yang besar serta prospek yang cerah”.

(Bernama)

Share

VIDEO POPULAR