Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump mahu mengekalkan pakatan sedia ada dengan Arab Saudi, lapor agensi berita Xinhua.

Beliau berkata demikian pada Ahad selepas diberikan penerangan mengenai pita rakaman kes pembunuhan wartawan merangkap penulis ruangan Washington Post, Jamal Khashoggi.

“Saya tidak mahu mendengarnya, tiada alasan untuk saya berbuat demikian. Saya tahu semua kandungannya tanpa perlu mendengarnya,” kata Trump kepada Fox News. 

Jabatan Perbendaharaan dan Kawalan Aset Asing AS pada Khamis mengenakan sekatan kepada 17 individu kerana didakwa mempunyai kaitan dengan pembunuhan Khashoggi.

“Anda lihat kita mengenakan sekatan besar-besaran ke atas sekumpulan warga Arab Saudi. Tetapi pada masa sama, kita masih mempunyai pakatan dan mahu kekalkannya kerana selama ini ia berlangsung dengan baik,” tambah Presiden AS itu.

Trump berkata pada Sabtu laporan penuh AS berhubung kematian Khashoggi dijangka siap dalam tempoh dua hari lagi. 

“Kami akan keluar dengan laporan keseluruhan mengenai siapa menyebabkannya dan melakukannya,” kata Trump. 

Khashoggi, 59, hilang sejak kali terakhir memasuki konsulat Arab Saudi di Istanbul pada 2 Oktober.

Pihak berkuasa Arab Saudi berkata wartawan itu terbunuh dalam “pergaduhan” di konsulat. Seramai 18 suspek kini ditahan.

(Bernama)

Share
Tags: Kategori: Global

VIDEO POPULAR