Kerajaan tidak mempunyai sebarang halangan terhadap penganjuran perhimpunan membantah cadangan ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) selagi ia tidak bercanggah dengan undang-undang yang ditetapkan.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata rancangan perhimpunan raksasa melibatkan ahli PAS dan UMNO pada 8 Dis ini boleh dianjurkan selagi pihak penganjur memenuhi syarat di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012.

“Saya sedia maklum selagi mereka mematuhi peraturan di bawah akta itu dan penuhi segala yang diperlukan untuk mengadakan perhimpunan tersebut, tiada masalah.

“Saya nasihatkan tiada sebarang kenyataan provakasi dilakukan, kita ada undang-undang saya harap mereka mematuhinya,” katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Muhyiddin mengulas pendirian kerajaan tentang penganjuran perhimpunan itu dan sama ada kedua-dua parti tersebut telah membuat permohonan bagi mengadakannya perhimpunan tersebut.

Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan sedang menyemak semula kontrak perjanjian dengan syarikat pengendali kemudahan Electronic Travel Registration & Information (eNTRI) yang dikaitkan dengan isu penyelewengan visa warga asing tanpa tapisan.

“Kalau kita dapati ia tidak lagi sesuai kerana ada perkara-perkara tertentu yang telah berlaku, kita akan ambil tindakan untuk menamatkan perkara itu,” katanya.

Sebelum ini, sebuah akhbar tempatan melaporkan terhadap ketirisan kemudahan melibatkan pelancong warga China menerusi eNTRI oleh sebuah syarikat tempatan.

Selain itu, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim, Khamis lalu, dilaporkan sebagai berkata pihaknya sedang mengambil tindakan susulan termasuk mengumpul maklumat berhubung penyelewengan visa warga asing tanpa tapisan.

(Bernama)

Share

VIDEO POPULAR