Baru-baru ini, bekas Perdana Menteri Malaysia, Najib Razak telah berkongsi di laman Facebook peribadinya dengan menyatakan yang kemungkinan bahawa kerajaan PH telah menggunakan sebahagian besar daripada Kumpulan Wang Disatukan sebanyak RM42.184 bilion yang ditinggalkan oleh kerajaan BN untuk menampung kerugian atau kelompongan ketika ‘tax holiday’. Katanya lagi, kerajaan PH kini mahu mempersalahkan kerajaan BN dahulu pula.

Tuduhan ini tentunya menyebabkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berang. Selepas Kerajaan PH mengambil alih pentadbiran pusat pada 9 Mei lalu, kedudukan kewangan di dalam Kumpulan Wang Disatukan yang belum diaudit setakat 30 April lalu adalah RM35.5 bilion, dan daripada jumlah ini cuma terdapat RM450 juta dalam Akaun Hasil Disatukan yang belum diaudit.

Daripada baki yang hanya RM11.86 bilion setakat 31 Disember 2017, Akaun Hasil Disatukan telah merosot teruk menjadi kepada RM450 juta saja setakat 30 April 2018. Maknanya, ia telah menyusut sebanyak RM11.41 bilion dalam masa hanya 4 bulan.

Sepatutnya Najib kena menjawab kenapa jumlah berkenaan merosot mendadak sebanyak 96 peratus dalam Akaun Hasil Disatukan pada 31 Disember 2017 – 30 April 2018. Kata Guan Eng, Najiblah yang sebenarnya meninggalkan RM450 juta saja untuk digunakan pada 30 April lalu.

Walaupun sebelum ini kerajaan dah beri percutian cukai yang berkuatkuasa 1 Jun lalu, tapi kedudukan kewangan Kumpulan Wang Disatukan Kerajaan Persekutuan yang belum diaudit mempunyai baki yang lebih tinggi iaitu RM3.81 bilion berbanding RM450 juta dahulu.

Maknanya, kerajaan PH sudah buat tambah baik sebanyak 8.5 kali ganda berbanding dengan kerajaan BN setakat 30 April lalu. Jadi, Guan Eng menjelaskan adalah tidak benar yang kerajaan PH telah salah guna dana Kumpulan Wang Disatukan seperti mana yang didakwa oleh Datuk Seri Najib Razak.

Share
Kategori: Ekonomi Nasional

VIDEO POPULAR