Pertandingan Seni Lukis Terbuka Antarabangsa — Art Olympia 2019 — kali ketiga, akan diadakan di Jepun tahun depan untuk menyerlahkan artis berbakat dari seluruh dunia dan menyokong aktiviti kesenian mereka.

Pertandingan dwitahunan itu menawarkan hadiah wang tunai berjumlah kira-kira US$500,000 (US$1 = RM4.19) dan hadiah iringan sebagai tanda sokongan kepada aktiviti pelukis berkenaan.

Jawatankuasa Eksekutif Art Olympia dalam satu kenyataan berkata bagi menyokong pelukis muda, pertandingan itu turut menawarkan Kategori Pelajar, untuk membolehkan mereka bertanding dalam ketegori Terbuka dan Pelajar.

Pertandingan Seni Lukis Terbuka Antarabangsa — Art Olympia 2019 — kali ketiga, akan diadakan di Jepun tahun depan untuk menyerlahkan artis berbakat dari seluruh dunia dan menyokong aktiviti kesenian mereka. (Foto: Bernama)

Pemenang pertama dalam Kategori Terbuka akan menerima US$120,000 manakala US$20,000 pula bagi johan dalam kategori Pelajar. Seribu pelukis akan turut diraikan dan karya seni mereka dipamerkan.

Semakan awal akan dilakukan menggunakan imej karya seni manakala pemilihan akhir pula akan menggunakan karya seni yang sebenar.

Proses semakan akan menggunakan sistem penarafan mata, membolehkan orang ramai memeriksa proses semakan. Kira-kira 160 karya seni akan dipilih bagi semakan akhir di Tokyo oleh sebuah panel juri dari seluruh dunia.

Art Olympia edisi ketiga menerima karya seni dua dimensi. Akrilik, cat air, pastel, pigmen mineral, cetak, arang, seni digital/multimedia, media campuran dan fotografi juga diterima. Saiz maksimum adalah 117cm x 117cm (46 x 46 inci).

Tempoh penyertaan bermula dari 1 Okt 2018 sehingga 15 Mac 2019. Pemenang akan diumumkan pada 6 Jun 2019 manakala karya seni berkenaan akan dipamerkan di Toshima Ward Office Building dari 8 hingga 16 Jun, 2019 serta di Tokyo Metropolitan Art Museum mulai 23 hingga 29 Jun 2019. Butiran lanjut boleh diperoleh di http://artolympia.info/

(Bernama)

Share

VIDEO POPULAR