Kuota jualan serta kelulusan untuk menjual minyak sawit hendaklah dipermudah dan lebih banyak kilang penapis swasta perlu diwujudkan bagi membantu menambah jualan minyak sawit di pasaran antarabangsa.

Presiden Alumni Asrama Felda Malaysia Khairul Anuar Danial berkata, dua tindakan tersebut merupakan cara yang perlu dipertimbangkan oleh kerajaan dan agensi yang bertanggungjawab bagi menambah jualan dan aktiviti komersial hiliran sawit.

“Kuota jualan serta kelulusan untuk menjual minyak sawit kepada syarikat persendirian termasuk orang tengah dan pedagang (traders) bagi pasaran antarabangsa hendaklah dipermudah. Dengan adanya lebih ramai pemain industri dan melalui jaringan pemasaran yang lebih luas, minyak sawit akan dapat dipasarkan dengan lebih meluas.

“Lebih banyak kilang penapis atau kemudahan penapisan kecil swasta perlu diwujudkan dan lesen untuk membinanya wajar dilonggarkan. Dengan adanya lebih banyak kilang, lebih banyak barangan siap boleh dihasilkan dan stok simpanan akan berkurangan,” katanya kepada Bernama.

Khairul Anuar berkata usaha untuk mengurangkan stok simpanan dan menambah jualan di peringkat antarabangsa penting kerana kos menyimpan minyak sawit yang kini mencecah paras 70 peratus di tangki-tangki penyimpanan membebankan pengeluar minyak sawit dari segi aliran tunai.

Beliau turut mengsyorkan kerajaan membuka pintu pasaran di seluruh dunia dengan lebih agresif, dan melantik firma pengiklanan terkenal seperti yang pernah dilakukan oleh Kementerian Pelancongan Malaysia, untuk memulihkan imej industri sawit.

“Di negara maju seperti Jepun, minyak sawit boleh dipasarkan sebagai bahan bakar bagi janakuasa. Di negara yang kurang maju seperti Myanmar, Bangladesh dan sebagainya, kerajaan perlu memberi sokongan teknikal seperti membantu lebih banyak tangki simpanan dibina serta membantu kilang pembotolan minyak sawit.

“Minyak sawit juga perlu di sasarkan untuk mampu dipasarkan terus kepada pengguna dan industri melalui pelantikan pengedar minyak sawit dan tidak lagi bergantung kepada pasaran China sahaja,” katanya.

Beliau turut menyarankan keputusan drastik dan proses penetapan semula (reset) dibuat ke atas Felda seperti di awal-awal penubuhannya agar ia kembali kukuh seperti dahulu.

“Felda perlu mengambil alih FGV Holdings Bhd dan mempertimbang untuk dinyahsenarai dari bursa. Pengurusan tertinggi Felda juga perlulah dilantik dari golongan penanam itu sendiri. Secara tradisi, kecemerlangan Felda berlaku kerana pucuk pimpinan tertingginya adalah di kalangan penanam,” katanya.

Generasi kedua dan ketiga peneroka Felda hari ini sedang melalui hari-hari yang amat sukar berikutan isu imej dan cabaran penurunan harga komoditi kelapa sawit.

“Dengan harga sekitar RM300 per tan yang dibayangi oleh harga minyak sawit mentah yang rendah, setelah dibahagi dengan adik-beradik, potongan Felda dan kos-kos yang lain, pendapatan bersih sekarang tidak sampai RM500 sebulan.

“Ditambah dengan skandal dan isu hutang Felda, tidak nampak ada sinar yang boleh membantu mereka. Sesuatu perlu dibuat,” katanya.

Asrama Felda yang ditubuhkan pada 1975 telah melahirkan lebih 15,000 lepasan pelajar dan majoriti daripadanya kini menjawat jawatan professional serta tinggi di sektor swasta dan kerajaan.

Para lepasan pelajar asrama Felda secara automatik menjadi anggota Persatuan Alumni Asrama Felda Malaysia yang ditubuhkan pada 2008 di bawah akta Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS).

Objektif utama penubuhan adalah untuk membantu pencapaian akademik pelajar felda, menjalankan program sosio ekonomi bagi masyarakat Felda, menjalin rangkaian di antara para anggota Alumni dan memberi khidmat nasihat kepada Felda termasuk agensi kerajaan.

(Bernama)

Share

VIDEO POPULAR