Kerajaan Negeri Melaka akan bekerjasama dengan politeknik di negeri ini untuk melatih pelajar dan tenaga pengajar sekolah tahfiz dengan asas dan kemahiran pendawaian elektrik sebagai langkah pencegahan daripada berlaku sebarang bencana terutama kebakaran akibat litar pintas.

Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari berkata langkah itu akan dilaksanakan secara berperingkat melibatkan semua sekolah tahfiz berdaftar atau tidak berdaftar di bawah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) bermula tahun depan.

Beliau berkata inisiatif itu mampu memberi nilai tambah kepada pelajar tahfiz dengan kemahiran teknikal yang boleh dimanfaatkan sepanjang hidup mereka dan ia boleh dijadikan sumber pendapatan sampingan.

“Aspek keselamatan di sekolah tahfiz penting dan menjadi keutamaan kerajaan negeri untuk memastikan ia terjamin menerusi pemantauan secara berterusan namun institusi berkenaan di negeri ini agak banyak dan pemantauan khusus agak sukar dilakukan…ia bergantung pada isu dan aduan yang diterima.

Kita sedang berbincang dengan pihak tertentu khususnya politeknik untuk memberi latihan teknikal dan kemahiran pendawaian elektrik kepada sekurang-kurangnya seorang pelajar dan tenaga pengajar tahfiz,” katanya kepada pemberita di luar Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka di sini, hari ini.

Terdahulu, ketika menjawab soalan lisan Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang) berhubung jumlah sekolah tahfiz berdaftar di Melaka, Adly (Amanah-Bukit Katil) berkata JAIM telah mendaftarkan 60 sekolah tahfiz swasta dan tiga sekolah tahfiz di bawah kerajaan negeri sehingga 24 Okt lepas.

”Jumlah guru tahfiz swasta dan kerajaan ialah seramai 303 manakala jumlah pelajar tahfiz ialah seramai 3,773 orang,” kata Adly yang juga Exco Kewangan, Tanah, Perancangan Ekonomi dan Hal Ehwal Agama Melaka.

Beliau berkata, kerajaan negeri akan terus melaksanakan Dasar Pendidikan Tahfiz Negara di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia melibatkan empat modul iaitu Tahfiz Turath, Tahfiz Sains, Tahfiz Dini dan Tahfiz Kemahiran bagi memastikan pelajar boleh memilih kerjaya yang bersesuaian.

Sementara itu, Exco Pertanian, Pembangunan Usahawan dan Industri Asas Tani Melaka, Norhizam Hassan Baktee berkata kerajaan negeri bercadang mewujudkan hutan simpan kekal bagi menempatkan monyet liar yang ditangkap, serta ‘zon penampan’ antara kawasan penempatan penduduk agar haiwan berkenaan tidak merosakkan tanaman atau memasuki rumah penduduk kampung.

Norhizam (DAP-Pengkalan Batu) berkata setakat ini, hanya perangkap monyet telah di pasang di DUN Sungai Udang dan Merlimau dengan sebanyak 475 ekor monyet berjaya ditangkap menggunakan kaedah berkenaan sejak Januari hingga Oktober lepas.

“Kita tidak boleh menembak monyet kerana tindakan itu merupakan satu kesalahan di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 176) dan ia menjadi satu kekangan untuk menghapuskan monyet liar ini secara efektif,” katanya ketika menjawab soalan lisan Rahmad Mariman (BN-Ayer Molek) berhubung langkah mengatasi gangguan haiwan liar seperti monyet dan babi hutan.

(Bernama)

Share

VIDEO POPULAR