Kembara Mahkota Johor (KMJ) 2018 yang akan berlangsung selama tiga hari bakal membuka tirainya pada 26 Nov ini.

Pengarah Tourism Johor Abdul Malik Ismail berkata rombongan diraja yang diketuai Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar itu akan menjelajah sejauh 777 kilometer meliputi 10 daerah di negeri ini.

Baginda dijangka akan menggunakan kereta jenis Morgan, motorsikal berkuasa tinggi dan juga memandu keretapi dalam kembara kali ini.

Abdul Malik berkata hari pertama kembara akan menyaksikan rombongan diraja bertolak dari Istana Pasir Pelangi, Johor Bahru menuju ke daerah Kota Tinggi sebelum ke Mersing dan tamat di Kluang, melibatkan laluan sepanjang 270 kilometer.

Pada hari kedua pula, Sultan Ibrahim berkenan untuk memandu keretapi dari stesen keretapi Kluang menuju ke stesen keretapi Segamat sebelum ke Tangkak dengan menaiki kereta jenis Morgan membabitkan perjalanan sejauh 305 kilometer.

Kembara kemudiannya akan ke Kompleks Sukan Pagoh di Muar dan tamat di Tongkang Pecah, Batu Pahat.

Abdul Malik berkata pada hari ketiga pula, rombongan akan bertolak ke Pontian dan Kulai sebelum menamatkan kembara di Pasir Gudang, di sini.

Sepanjang KMJ 2018, Sultan Ibrahim akan bertemu rakyat dan turut sama mengambil bahagian dalam program bersama-sama rakyat seperti demonstrasi memasak, sukan rakyat, lawatan ke tempat pameran, gerai-gerai dan penyampaian sumbangan kepada golongan yang memerlukan.

(Bernama)

Share

VIDEO POPULAR