Jumlah kes demam denggi di Kedah dari Januari hingga 10 Nov lepas meningkat 28.5 peratus kepada 1,706 kes berbanding 1,328 kes dicatatkan dalam tempoh sama tahun lepas.

Pengarah Jabatan Kesihatan Kedah, Datuk Dr Norhizan Ismail berkata, Langkawi antara lapan daerah yang menunjukkan peningkatan ketara dengan 223 kes berbanding 32 kes dicatatkan sebelum ini.

Katanya, daerah Kota Setar mencatatkan 213 kes berbanding 127 kes sebelum ini, Pendang 115 kes (berbanding 32 kes), Kuala Muda 423 kes (berbanding 366 kes), Baling 163 kes (berbanding 118 kes), Kubang Pasu 116 kes (berbanding 87 kes), Yan 31 kes (berbanding 11 kes) dan Padang Terap dengan 85 kes (berbanding 69 kes).

Anggota Jabatan Sukarelawan Rakyat (RELA) tertarik melihat replika nyamuk Aedes yang dipamerkan pada Program Gotong Royong Mega Perangi Aedes 2.0 Peringkat Negeri Kedah di Pasar Awam Alor Setar, hari ini (16hb).

“Terdapat juga beberapa daerah yang menunjukkan penurunan kes seperti Kulim dengan 239 kes berbanding sebelum ini 369 kes, Sik 83 kes (berbanding 101 kes) dan Bandar Baharu 15 kes (berbanding 16 kes),” katanya kepada pemberita pada Program Gotong Royong Mega Perangi Aedes 2.0 peringkat negeri di sini, hari ini.

Sementara itu, Dr Norhizan berkata, sebanyak tujuh kes kematian dicatatkan dengan daerah Kuala Muda mencatatkan kematian tertinggi iaitu empat kes, manakala masing-masing satu kes di Kubang Pasu, Kota Setar dan Langkawi.

Sebagai langkah pencegahan dan kawalan, pihaknya melakukan pemeriksaan ke atas 398,328 premis di seluruh negeri dan didapati sebanyak 9,438 premis mempunyai tempat pembiakan jentik-jentik.

“Kita juga mengeluarkan sebanyak 3,756 kompaun dengan nilai lebih RM1.813 juta di bawah Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975 dan sebanyak 832 Notis Seksyen 8 dikeluarkan bagi arahan kerja pembersihan dan pemusnahan tempat yang berpotensi menjadi tempat pembiakan Aedes.

“Sebanyak 534,700 premis juga dibuat semburan untuk membunuh nyamuk dan sebanyak 103,611 premis telah dilakukan ‘larviciding’ bagi memusnahkan jentik-jentik,” katanya.

Beliau berkata aktiviti pendidikan kesihatan juga giat dilakukan bagi memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai bahaya denggi.

Katanya, masyarakat diminta agar meningkatkan tahap kebersihan persekitaran di rumah kerana jumlah kes akan terus meningkat ekoran musim hujan dijangka berlaku di negeri ini.

(Bernama)

Share

VIDEO POPULAR