Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad tiba di sini pada Jumaat untuk menghadiri Mesyuarat Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) Ke-26 dari 17 hingga 18 Nov.

Pesawat yang membawa Dr Mahathir dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Jackson pada 9.25 malam waktu tempatan.

Ketibaan Dr Mahathir dan isteri, disambut oleh Timbalan Perdana Menteri Papua New Guinea Charles Abel dan Menteri Luarnya Rimbink Pato.

Turut hadir Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Papua New Guinea Mohamad Nasri Abdul Rahman.

Ini merupakan penampilan pertama Dr Mahathir di APEC sebagai Perdana Menteri ketujuh.

Kali terakhir beliau menghadiri APEC adalah pada 2003 di Bangkok, Thailand, yang ketika itu beliau merupakan Perdana Menteri keempat.

Papua New Guinea menjadi tumpuan global berikutan beberapa pemimpin dunia, termasuk Presiden China Xi Jinping berada di sini untuk menghadiri sidang kemuncak tahunan itu.

Para pemimpin akan membincangkan strategi untuk meningkatkan pembangunan digital dan perdagangan Asia Pasifik yang inklusif untuk 21 negara anggota, yang menyumbang separuh daripada perdagangan dunia dan 60 peratus daripada KDNK dunia.

(Video: Bernama WebTV, Youtube) 

(Bernama)

Share

VIDEO POPULAR