Kerajaan negeri akan melaksanakan audit forensik ke atas semua syarikat berkaitan kerajaan (GLC) miliknya dalam tempoh terdekat bagi mengetahui punca keberhutangan sesetengah syarikat dan pertindihan dalam perniagaan.

Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian, berkata buat permulaan, audit itu mungkin dilaksanakan terhadap dua atau tiga syarikat dengan satu daripadanya adalah YPJ Holdings.

Katanya, hasrat untuk melakukan audit itu sudah dimaklumkan kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar dan semua Ketua Pegawai Eksekutif GLC berkenaan.

“Kita (kerajaan negeri) nak tahu mengapa ada perkara seperti pertindihan perniagaan dan kerjasama. Kita hendak selaraskan.

“Saya ambil contoh. Kita ada Perbadanan Pengangkutan Awam Johor (PAJ) tetapi kita pinjam dan sewa bas dengan syarikat lain sedangkan pemaju dari Johor Corporation (JCorp) ada.

“Begitu juga dengan projek JBiotech. Kita ada ladang YPJ dan JCorp tetapi kita tidak boleh bekerjasama dan apabila masuk bab tender, semua menghantar tender (masing-masing). Ini berlawanan sesama sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Konvensyen Parti Amanah Negara (Amanah) peringkat negeri Johor di Dewan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), malam ini.

Ditanya sama ada pihaknya akan melantik firma luar untuk melakukan audit, Osman berkata, memang itu akan dilakukan kerana ‘kalau ambil dalaman (pihak dalaman), dia boleh ubah angka.’

Mengenai JCorp yang dikatakan mempunyai hutang sebanyak RM3.1 bilion, Osman berkata, pihaknya mengetahui secara mendalam punca sebenar hutang berkenaan.

“Ikutkan apa yang dia (JCorp) janji dengan kita, dia akan selesaikan hutang itu dalam tahun 2022. Jadi kita tengok dululah (sama ada turut buat audit forensik) tetapi kita nak juga mengetahui sejauh manakah hutang dia (JCorp) sehingga begitu banyak.

“Kita tahu cuma secara kasar,” tambah beliau yang juga Pengerusi JCorp.

Terdahulu, dalam ucapan di konvensyen itu, Osman mendedahkan, JCorp mempunyai hutang sebanyak RM3.1 bilion menyebabkan kerajaan negeri perlu memikirkan cara untuk memperkukuhkan kembali organisasi berkenaan.

(Bernama)

Share

VIDEO POPULAR