PKR mengalu-alukan sesiapa sahaja, termasuk anggota UMNO yang yakin dengan dasar parti itu untuk menyertainya, kata Ketua Pemuda PKR yang bakal berundur, Nik Nazmi Nik Ahmad.

Anggota Parlimen Setiawangsa itu menegaskan terdapat peningkatan dalam jumlah anggota PKR selepas pilihan raya umum 9 Mei lepas. Bagaimanapun, beliau tidak pasti jumlah anggota UMNO, terutama daripada sayap Pemuda, yang menyertai PKR.

“Anda boleh datang daripada (kumpulan) Pemuda yang berlainan tetapi jika anda benar-benar yakin dengan prinsip keadilan, kami tidak ambil kisah tentang apa juga sejarah anda,” katanya pada sidang akhbar selepas menyampaikan ucapan dasar pada Kongres Sayap Pemuda PKR Kebangsaan 2018 di sini hari ini.

Ditanya sama ada wujud keadaan berpuak-puak dalam parti, Nik Nazmi berkata hubungan dalam parti tetap teguh, sungguhpun kalangan anggota mempunyai perbezaan pendapat.

“Kami tidak menutup sebarang ruang bagi menyuarakan pendapat atau perselisihan, itulah yang membezakan kami daripada UMNO, yang ada antaranya ‘yes boss yes madam’…,” katanya.

Kongres itu berlangsung mulai hari ini (16hb) sehingga Ahad yang akan dihadiri sejumlah 2,735 orang anggota perwakilan, dengan kongres sayap Pemuda dan Wanita memulakan acara tahunan itu.

Ini adalah kongres pertama PKR sejak pembentukan kerajaan Pakatan Harapan selepas memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 pada Mei lepas.

(Bernama)

Share
Tags: Kategori: Nasional

VIDEO POPULAR