Wanita PKR mesti bergerak bukan hanya sebagai sayap politik, sebaliknya menjadi suara perjuangan wanita secara keseluruhannya, kata Timbalan Ketua Wanitanya, Haniza Mohamed Talha.

Dalam ucapan dasarnya pada Kongres Nasional Wanita PKR 2018, Haniza berkata Wanita PKR, yang mempunyai keanggotaan kira-kira 300,000 orang mesti menjadi “suara sebenar wanita” Malaysia dengan setiap tindakan dilakukan demi kepentingan wanita di negara ini. 

Beliau berkata isu eksploitasi wanita, perkahwinan kanak-kanak, keganasan rumah tangga serta pengelibatan wanita dalam pembangunan negara akan terus menjadi tumpuan perjuangan wanita parti berkenaan. 

“Tiada isu yang ‘taboo’ (dilarang) bagi Wanita Keadilan. Selagi ia memberi kesan kepada wanita Malaysia, selagi itu Wanita Keadilan terus mara memperjuangkan hak, nasib dan masa hadapan wanita di Malaysia,” katanya pada kongres tahunan yang berlangsung di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), di sini hari ini (16hb).

Ketua Wanita, Zuraida Kamaruddin tidak dapat hadir pada kongres itu kerana menghadiri mesyuarat kabinet di Putrajaya.

Haniza, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lembah Jaya, berkata sasaran kuota 30 peratus wanita di peringkat pembuat keputusan akan diperluaskan ke peringkat lain seperti kepimpinan wanita dalam sektor kerajaan persekutuan, kerajaan negeri, ahli majlis kerajaan tempatan dan sektor korporat.

“Walaupun belum capai 30 peratus, ia harus dicapai supaya suara wanita terus dipeduli untuk diambil tindakan,” kata Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan dan Kehidupan Bandar Negeri Selangor itu.

Kongres bertemakan ‘Wanita Muafakat Terus Mara’ itu, disertai lebih 1,000 perwakilan termasuk pemerhati dari 217 cabang parti dari seluruh negara. 

(Bernama)

Share
Tags: Kategori: Wanita

VIDEO POPULAR