Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (Perdasama) akan menyertai Ekspo Musiad ke-17 di Turki dari 21 hingga 24 Nov ini untuk mempertingkat perdagangan industri tempatan ke luar negara.

Musiad ialah organisasi bukan kerajaan di Turki yang mewakili 46,000 perusahaan dengan lebih 11,000 anggota di negara itu dan luar negara.

Presiden Perdasama, Tan Sri Matshah Safuan berkata pengalaman yang diperoleh daripada ekspo ini akan digunakan untuk memperkukuh rangkaian perniagaan, memenuhi potensi pelaburan dan pembeli, meningkatkan kerjasama serta mencari peluang perniagaan baharu di pasaran luar.

“Perdasama juga akan mengambil bahagian dalam forum perniagaan antarabangsa yang merupakan satu daripada acara dalam ekspo tersebut,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Matshah berkata seramai 30 anggota delegasi Perdasama akan menyertai ekspo tersebut, diketuai beliau sendiri.

Sementara itu, Perdasama dengan kerjasama Ace Mode Resource dan Yayasan Pembangunan Buku Negara serta beberapa agensi lain akan menganjurkan Karnival dan Kongres Warisan serta Industri Kreatif Malaysia (KWIK) 2018 pada 7 hingga 9 Disember ini di Kompleks Kraf Kuala Lumpur.

KWIK diadakan bertujuan mengumpulkan penglibatan usahawan dalam aktiviti warisan untuk mempromosikan dan mempamerkan produk serta berkongsi budaya warisan dan kesenian negeri masing-masing.

Matshah berkata acara tersebut dijangka dihadiri kira-kira 20,000 pengunjung.

(Bernama)

Share

VIDEO POPULAR