Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yang baharu, Wong Choong Hann memberi jaminan akan memberi apa jua bantuan dan sokongan diperlukan jaguh perseorangan negara Datuk Lee Chong Wei.

Choong Hann, yang memulakan tugasnya di Akademi Badminton Malaysia (ABM) hari ini, berkata pemenang pingat perak tiga kali Sukan Olimpik itu menunjukkan keazaman dan disiplin tinggi dalam meneruskan kariernya, biarpun disahkan menghidap kanser hidung.

“Kita (BAM) sentiasa menyokong apa jua keputusan Chong Wei, kerana beliau lebih tahu tentang dirinya sendiri daripada orang lain dan mempunyai keazaman serta disiplin tinggi untuk meneruskan kariernya (dalam badminton).

“Kita akan memberi apa sahaja sokongan yang boleh kepada beliau bergantung kepada nasihat doktor dan penilaian beliau sendiri,” katanya ketika ditemui pemberita di ABM hari ini.

Chong Wei, bekas pemain nombor satu dunia, yang mengumumkan keputusannya kembali ke gelanggang dan bakal membuat penampilan kelimanya pada Sukan Olimpik Tokyo 2020, menyasarkan pingat emas pertama Malaysia pada temasya sukan itu selepas sekadar meraih pingat perak tiga kali berturut-turut pada edisi 2008, 2012 dan 2016.

Pemain berusia 36 tahun itu berehat selama empat bulan bagi menjalani rawatan selepas dikesan menghidap barah hidung tahap satu di Taiwan dan dijangka memulakan latihan bulan depan, sebelum menyertai kejohanan kompetitif tahun depan.

Ditanya sama ada Chong Wei mampu bangkit dengan aksi bertenaga selepas ini, Choong Hann berkata: “Kita sudah melihat beliau mampu berdepan dugaan, beliau telah membuktikan kepada semua orang beliau boleh mengatasi jangkaan banyak pihak.

“Saya tidak fikir jangka waktu menjadi isu kepada beliau untuk beraksi pada Sukan Olimpik 2020 kerana kemampuannya menjadi senjata penting baginya,” kata Choong Hann.

(Bernama)

Share

VIDEO POPULAR