Alumni Universiti Teknologi Mara (UiTM) diingatkan supaya terus menghargai jasa universiti itu yang menjadi antara tempat mereka menuntut ilmu.

Pro Canselor UiTM, Tan Sri Dr Arshad Ayub berkata ia berikutan universiti melahirkan ramai anak bangsa yang kini mencipta nama dalam bidang kerjaya mereka masing-masing.

“Seperti pantun yang berbunyi ‘pisang emas dibawa belayar, masak sebiji di atas peti, hutang emas boleh dibayar, hutang budi dibawa mati’.

“Dalam konteks UiTM, hutang pada universiti itu dibalas sehingga mati…bukan saya sahaja, tetapi ramai lagi individu yang mendapat jasa dari UiTM sehingga mampu berada pada tahap tertinggi,” katanya ketika berucap dalam majlis makan malam bersempena ulang tahun ke-90 kelahiran beliau di Dewan Agung Tunku Canselor di sini, malam ini.

Turut hadir, Naib Canselor UiTM, Prof. Emeritus Datuk Dr. Hassan Said dan bekas Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh.

Sementara itu, Hassan turut menyeru alumni universiti terbabit mengenang jasa Arshad yang membawa banyak membawa perubahan positif kepada UiTM.

“Beliau banyak memberi inspirasi dan kekuatan kepada ramai warga kerja UiTM, baik yang bersara mahupun yang masih berada di universiti ini.

“Tan Sri juga individu yang berjaya mengangkat UiTM sebagai sebuah universiti terawal yang mengasaskan pelbagai kursus berkaitan perniagaan di negara ini,” katanya.

(Bernama)

Share

VIDEO POPULAR