Minat dan kecintaannya terhadap aktiviti memanah dan berkuda membuatkan Mohd Ridzuan Zakaria, 28, tekad mencabar dirinya untuk mencuba sukan memanah berkuda, iaitu antara sukan yang kurang diminati rakyat negara ini.

Dikenali dengan panggilan ‘Mat Ju’ dalam kalangan rakan-rakannya, anak muda berasal dari Kampung Pak Kancil, Setiu, itu berkata beliau juga tidak menyangka percubaan kedua menyertai kejohanan sukan itu di Indonesia baharu-baharu ini berjaya mengharumkan nama negara.

Beliau berjaya membawa pulang pingat perak meskipun baharu sahaja berjinak-jinak dengan aktiviti lasak itu.

“Sebelum ini saya hanya menumpu kepada sukan berkuda sahaja namun pada tahun 2014 saya mula berjinak-jinak dengan sukan memanah pula. Setelah belajar berkuda dan memanah saya mula terfikir untuk mencuba sukan memanah berkuda yang menjadi kombinasi antara sukan berkuda dan sukan memanah.

“Saya juga tak menyangka bahawa daripada minat dan hobi saya terhadap haiwan ini mampu menjadi satu pekerjaan buat diri saya… Yang mana selain menyertai pertandingan saya mengajar mereka yang berminat dalam sukan ini serta menjadi juru ladam kuda,” katanya ketika ditemui Bernama di kediamannya di sini.

Menurut anak kelima daripada sembilan beradik ini lagi, bukan mudah untuk menjadi seorang atlet yang mahir dalam sukan itu, kerana ia memerlukan kecekapan dalam menunggang dan mengendalikan kuda. Selain itu ia memerlukan daya penglihatan yang tajam untuk memanah sasaran ketika menunggang haiwan itu.

“Mencari keserasian dengan kuda adalah satu perkara yang penting kerana kita perlu berkomunikasi dan beraksi dengan haiwan itu dalam sukan ini… Yang mana pada saya dalam sukan ini kita perlu ada ‘kepercayaan’ dan ‘tawakal’.

“Kombinasi antara pemain dan kuda amat penting yang mana kita perlu beri kepercayaan kepada kuda yang akan menjadi tunggangan kita ketika itu kerana mereka sudah dilatih dan tahu apa tugas mereka…Selebihnya kita hanya boleh bertawakal dan berdoa agar usaha yang kita lakukan untuk mendekasi haiwan itu akhirnya menjadi gandingan yang serasi,” katanya.

Mengimbas kembali kejayaan beliau pada kejohanan itu, beliau bersama 10 atlet sukan memanah berkuda mewakili Malaysia ke pertandingan 1st International Horseback Archery Indonesia 2018 di Pondok Pesantren Al-Fatah Temboro-Karas-Magetan, Jawa Timur, dan berjaya membawa pulang pingat perak dalam acara Korean Trek yang berlangsung pada 10 dan 11 Nov lepas.

“Pada pertandingan itu saya perlu bersaing dengan 42 peserta dari lapan negara, termasuk tuan rumah, Romania, Kuwait, Afrika Selatan, Thailand, Turki, Singapura, dan atlet dari negara kita… Alhamdulillah rezeki saya dapat membawa balik satu pingat perak daripada empat acara yang saya sertai di sana.

“Dalam pertandingan memanah berkuda ini kita perlu bijak menangani pelbagai cabaran kerana semasa pertandingan ianya tidak semudah ketika kita berlatih bersendirian kerana di sana trek yang digunakan lebih mencabar dan tidak sama di trek sendiri, selain kuda yang digunakan bukan kuda kita sendiri,” katanya.

Sebelum pertandingan mereka perlu membuat undian untuk memilih kuda yang akan digunakan semasa pertandingan dan diberi peluang beberapa kali bersama kuda itu bagi menyesuaikan diri sebelum bertanding.

Mengulas mengenai masa hadapan beliau dan sukan yang diminatinya itu, Mat Ju berkata beliau berharap lebih ramai anak muda khususnya anak Terengganu akan menceburi aktiviti ini sekaligus menjadi kuasa besar dalam sukan itu seperti sukan lumba basikal.

“Seperti yang diketahui sukan ini jarang mendapat perhatian masyarakat negara kita dan sebab itulah saya ingin tunjukkan kelebihan sukan ini pada anak muda negara ini. Saya akan buat apa sahaja untuk menyebarkan keistimewaan sukan ini.

“Buat masa kini, saya sering memberi pendedahan dan mengajar adik yang lain berkenaan sukan itu selain mengajar mereka yang ingin belajar menunggang kuda di trek yang telah dibina berdekatan rumah kami agar minat terhadap sukan itu dapat dipupuk dari awal,” katanya.

(Bernama)

Share

VIDEO POPULAR