Pegawai Turus Siasatan Seksual Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Supt Shafa’aton Abu Bakar melakar sejarah bagi Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor apabila dilantik wanita pertama sebagai Ketua Polis Daerah Sungai Buloh.

Shafa’aton, 42, berasal dari Mersing, Johor memulakan tugas hari ini menggantikan Supt S. Somu yang bertukar ke Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Kontinjen Kuala Lumpur.

Majlis serah terima tugas berlangsung di Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Buloh di sini dengan disaksikan Ketua Polis Selangor Datuk Mazlan Mansor.

Shafa’aton bersedia memikul tanggungjawab yang diamanahkan dan akan membawa imej pegawai polis wanita ke tahap yang tertinggi.

“Saya akan cuba yang terbaik dan berharap lebih ramai polis wanita akan menjawat jawatan tinggi dalam organisasi,” katanya kepada pemberita.

Sementara itu, Mazlan berkata beliau percaya Shafa’aton mampu menggalas tugas sebagai ketua polis daerah yang baik berdasarkan pengalamannya yang luas.

“Ini adalah satu pengiktirafan dan saya percaya wanita mampu memainkan peranan penting dalam organisasi khususnya Polis Diraja Malaysia,” katanya.

(Bernama)

Share

VIDEO POPULAR