Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dalam proses menubuhkan Inisiatif Kepimpinan Wanita bagi meningkatkan daya saing wanita dalam sektor awam dan korporat.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata melalui inisiatif itu, wanita akan diberi latihan, dorongan dan kepimpinan untuk menduduki jawatan pengurusan tertinggi.

Beliau, yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata inisiatif itu selaras dengan hasrat kerajaan dalam menggalakkan supaya 30 peratus wanita berada dalam jawatan pembuat keputusan.

“Wanita kini diberi kepercayaan di peringkat membuat keputusan termasuklah sebagai menteri, timbalan menteri, anggota Parlimen, gabenor Bank Negara, hakim-hakim, ketua setiausaha, ketua pengarah, naib canselor dan pelbagai lagi jawatan tertinggi yang dahulunya hanya dimonopoli oleh kaum lelaki.

Justeru kerajaan amat komited untuk terus menggerakkan agenda pembangunan dan pemerkasaan wanita agar mereka dapat menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi, sekali gus meningkatkan kualiti hidup masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Persidangan PELITAWANIS Tenaga Nasional Berhad (TNB) 2018 yang bertemakan ‘Mempelopori Dunia Keusahawanan’ di sini hari ini (15hb).

Dr Wan Azizah turut menegaskan bahawa jawatan-jawatan tinggi itu mesti diberikan berasaskan merit dan bukan kuota semata-mata.

Beliau juga menyeru wanita yang masih berpeluang untuk menjawat jawatan tinggi untuk meningkatkan prestasi dan produktiviti kerja dalam usaha meningkatkan jumlah wanita yang memegang jawatan di peringkat pembuat keputusan.

Sementara itu, beliau berkata statistik Jabatan Perangkaan Malaysia bagi suku ketiga tahun 2018 menunjukkan penglibatan wanita dalam tenaga buruh di Malaysia adalah 55.5 peratus, mewakili seramai 5.78 juta orang.

Statistik itu menunjukkan peningkatan sebanyak 0.8 peratusan mata daripada 54.7 peratus kadar penyertaan tenaga buruh wanita di Malaysia bagi tahun 2017.

Dengan peningkatan itu, beliau berkata kerajaan menyasarkan peningkatan kepada 56.5 peratus tenaga buruh wanita pada tahun 2020.

Katanya, penglibatan wanita dalam bidang perniagaan akan menjadikan wanita sebagai satu sumber yang turut menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang menjadi pengukur kepada tahap prestasi pertumbuhan ekonomi negara.

(Bernama)

Share
Tags: Kategori: Wanita

VIDEO POPULAR