Isteri bekas Perdana Menteri (PM), Datin Seri Rosmah Mansor mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM1.5 juta berhubung projek pemasangan tenaga solar sekolah luar bandar di Sarawak, dua tahun lepas.

Mahkamah benarkan Rosmah diikat jamin RM1juta dengan seorang penjamin.

Mahkamah juga benarkan Rosmah bayar jamin RM500,000 hari ini dan baki perlu dijelaskan dalam masa tujuh hari dan tetapkan 10 Dis untuk sebutan kes.

Manakala bekas pegawai khas kepada bekas PM, Datuk Rizal Mansor mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas tuduhan meminta dan menerima suapan berjumlah RM5.5 juta berhubung projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar di 369 sekolah luar bandar di Sarawak, dua tahun lepas.

Mahkamah membenarkan Rizal diikat jamin RM1 juta dengan dua orang penjamin dan pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Mahkamah tetapkan 29 Nov untuk sebutan semula kes beliau.

Dalam pada itu, bekas Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas dua pertuduhan menerima rasuah wang berjumlah RM3 juta, berhubung pembelian tanah bagi pembinaan rumah mampu milik.

Seorang ahli perniagaan Datuk Tan Eng Boon mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan memberi rasuah dan pertuduhan pilihan melibatkan jumlah wang tunai RM1 juta berhubung berhubung kelulusan permohonan sebuah syarikat untuk menaikkan ratio berkaitan pembangunan di Jalan Semarak, Kuala Lumpur, pada tahun 2013.

(Bernama)

Share

VIDEO POPULAR