Sektor pembuatan di Sabah menyasarkan untuk meningkatkan pendapatan daripada 7.3 peratus ketika ini, kepada 35 peratus, kata Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.

Katanya, pertumbuhan sektor pembuatan di Sabah meningkat sebanyak 5.3 peratus tahun lalu berbanding -3.5 peratus tahun sebelumnya.

“Bagaimanapun, sumbangan sektor itu kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) turun sedikit kepada 7.3 peratus tahun lalu berbanding 7.5 peratus pada 2016.

“Melalui pembangunan sektor pembuatan, kerajaan juga berusaha meningkatkan pendapatan perkapita daripada US$5,000 kepada US$15,000 apabila Sabah mencapai status negeri maju,” katanya ketika menggulung perbahasan bagi kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri, hari ini.

Tangau yang juga Menteri Perdagangan dan Perindustrian Sabah berkata, pertumbuhan ekonomi Sabah meningkat pada kadar 8.2 peratus tahun lalu berbanding kadar pertumbuhan nasional sebanyak 5.9 peratus.

Katanya, Sabah adalah antara tujuh negeri yang mencatat pertumbuhan melebihi kadar pertumbuhan nasional. Pendapatan perkapita KDNK negeri juga meningkat sedikit kepada RM23,979 tahun lalu berbanding RM21,086 tahun sebelumnya.

Katanya, insentif baharu yang diperkenalkan mampu menarik ramai pelabur ke Sabah apabila kadar sewa tanah tahunan untuk membangunkan industri pembuatan dikurangkan daripada satu peratus kepada 0.75 peratus yang akan berkuatkuasa pada 1 Januari tahun hadapan.

“Insentif ini hanya dikhaskan bagi pembangunan industri baharu yang akan menyediakan 100 peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan,” katanya.

Selain itu, pengurangan kadar premium untuk pemberi milikan tanah bagi tujuan industri pembuatan dikurangkan daripada 70 peratus kepada 60 peratus dan daripada pertanian kepada industri pembuatan dikurangkan daripada 15 peratus kepada 10 peratus berdasarkan 70 peratus harga pasaran tanah industri yang belum dibangunkan.

Dalam pada itu, Madius berkata, selaras Revolusi Industri 4.0, Sabah mengambil langkah membangunkan ekonomi digital dengan melaksanakan e-dagang yang membolehkan pembangunan Zon Perdagangan Bebas Digital (DFTZ).

“Ia akan menyediakan persekitaran yang kondusif bagi syarikat berlandaskan ekonomi digital memasarkan produk mereka ke pasaran lebih luas dan tanpa sempadan. Dengan penerokaan baru yang dirancang untuk dibangunkan KKIP Sdn Bhd, ia memberikan peluang besar kepada perusahaan kecil dan sederhana di Sabah,” katanya.

(Bernama)

Share
Tags: Kategori: Ekonomi

VIDEO POPULAR