Jenazah pelakon dan pelawak Zaibo atau nama sebenarnya Zainal Ariffin Abd Hamid, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Rengit, malam ini (14hb).

Jenazah selesai dikebumi pada 9.20 malam selepas tiba di tanah perkuburan itu kira-kira 9.10 malam dan disolatkan di Masjid Jamek Pekan Rengit.

SAYU…Anak tiri bongsu Allahyarham Zaibo, Muhammad Nur Fahrin Hamdan (depan, dua kanan), 11, tidak dapat mengawal perasaannya dipeluk abangnya, Muhammad Nur Ikmal Hamdan, 20, ketika pengebumian Allahyarham di Tanah Perkuburan Islam Rengit, malam ini. Zaibo, 62, meninggal dunia pada 1.30 petang tadi di kediaman beliau di Rengit di sini, akibat kanser esofagus. (Foto: Bernama)

Selain keluarga, beberapa teman rapat dan rakan seni Allahyarham turut kelihatan di tanah perkuburan itu.

Turut hadir, Pengerusi Yayasan Kebajikan Artis Tanahair (YKAT) Datuk DJ Dave.

Zaibo, 62, meninggal dunia pada 1.30 petang tadi di kediaman beliau di Rengit di sini, akibat kanser esofagus.

Sepanjang pembabitan dalam bidang seni, Allahyarham popular menerusi watak Pak Selamat dalam sitkom, Spanar Jaya selain membintangi filem, Anna And The King.

Penulis lirik terkenal Habsah Hassan (kiri) dan pelakon Singapura Rudy Marican (tengah) yang merupakan rakan karib kepada Allahyarham Zaibo turut hadir bagi memberi penghormatan terakhir di kediaman Zaibo di Rengit, Batu Pahat. Turut kelihatan balu Allahyarham Zaibo, Siti Hawa Sawal, 52, (kanan). Pelakon dan pelawak itu atau nama sebenarnya Zainal Ariffin Abd Hamid, 62, meninggal dunia akibat kanser esofagus pada 1.30 petang tadi. (Foto: Bernama)

Dua hari lepas, Tunku Puteri Johor Tunku Tun Aminah Sultan Ibrahim bersama suami baginda, Dennis Muhammad Abdullah berkenan meluangkan masa melawat Allahyarham Zaibo di kediamannya.

Sementara itu, DJ Dave yang ditemui berkata Allahyarham Zaibo merupakan rakan yang disenangi rakan artis dan murah dengan senyuman.

Beliau berkata YKAT turut memberi sedikit sumbangan kepada keluarga Allahyarham bagi meringankan beban mereka.

(Bernama)

Share
Tags: Kategori: Hiburan

VIDEO POPULAR