Mastercard mahukan perkongsian dengan lebih banyak pemain industri supaya produk dan perkhidmatan teknologi kewangan menembusi pengguna.

Naib Presiden Eksekutif Digital dan Perkongsian Baru Mastercard Asia Pasifik, Rama Sridhar, berkata banyak pemain industri teknologi kewangan (fintech) mahu mewujudkan produk dan perkhidmatan yang dapat menjimatkan masa dan wang pengguna.

“Mastercard mempunyai rekod yang panjang dalam menjana perdagangan dengan menjadikan setiap transaksi lebih pintar, lebih lancar dan lebih selamat.

“Justeru, Mastercard membangunkan inovasi untuk penyelesaian bukti pembayaran masa depan supaya kerajaan, perniagaan dan pengguna dapat fokus kepada apa yang mereka lakukan tanpa bimbang akan keselamatan transaksi mereka,” katanya pada sesi media sempena Festival FinTech Singapura 2018, di sini, hari ini.

Rama berkata, banyak kerajaan di Asia Tenggara juga merancang bergerak ke arah ekonomi digital dengan penyelesaian tanpa tunai sebagai komponen teras.

Sebagai contoh, perkhidmatan pengangkutan e-hailing berpangkalan di Singapura, Grab, bekerjasama dengan Mastercard untuk mengeluarkan kad prabayar khas bagi pengguna Asia Tenggara, memperluaskan penggunaan dompet digital Grab dan membantu pengguna yang tidak berdaftar menjalankan transaksi dalam talian.

Kedua-dua syarikat berharap dapat memanfaatkan 110 juta pengguna Grab, berdasarkan muat turun dan rangkaian tiga juta kedai Mastercard.

“Kerjasama dengan Grab sejajar matlamat kami untuk meningkatkan pembayaran digital dalam kalangan pengguna dan pedagang di Asia Tenggara,” kata Rama.

Sementara itu, Presiden Bersama Mastercard Asia Pasifik, Ari Sarker, berkata syarikat berkenaan merancang mewujudkan saluran untuk menghubungkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) kepada platform e-dagang.

“Ia adalah penting untuk mereka mempunyai perspektif lebih besar ekonomi digital.

“E-dagang menyaksikan perubahan yang besar di seluruh dunia. Pemberdayaan e-dagang akan kekal sebagai kuasa yang kuat dan PKS mempunyai peluang untuk terbabit dalam rantaian bekalan melalui platform berkenaan,” katanya.

Festival Fintech Singapura kali ketiga ini menyaksikan pembabitan lebih 250 penceramah, 450 pempamer, 16 pavilion antarabangsa dan 40,000 peserta.

(Bernama)

Share
Tags: Kategori: Gaya Hidup

VIDEO POPULAR