Sebuah kuil yang tersohor di Kerala India meminta pertubuhan berita supaya tidak menghantar wartawan wanita untuk membuat liputan pertelingkahan mengharamkan perempuan “usia datang haid’ masuk ke kuil itu.

Kuil Sabarimala pada bulan lepas menjadi sasaran protes ganas yang dicetuskan kumpulan fundamentalis yang menentang perintah Mahkamah Agung yang membenarkan semua perempuan tanpa mengira umur untuk memasuki kuil itu yang dibina khas untuk Dewa Ayyappan.

Beberapa orang wartawan wanita diserang ketika membuat liputan sewaktu protes itu berlangsung .

Aktivis kumpulan penentang itu yang menghalang kemasukan kumpulan perempuan berusia antara 10 hingga 50 tahun dan bertempur dengan anggota polis yang cuba menguatkuasakan perintah Mahkamah Agung. Perintah itu dikeluarkan pada September lepas.

Mahkamah Agung membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi Kerala yang dibuat pada 1991 yang menyekat perempuan yang datang bulan masuk ke dalam kuil.

Kumpulan konservatif turut menggerakkan wanita yang menyokong pengharaman itu yang berkata mereka sanggup menunggu sehingga mencapai usia 50 tahun untuk memasuki kuil berkenaan.

Beratus-ratus orang perusuh ditahan dalam demonstrasi yang dianjurkan bulan lalu.

Kekacauan dijangka berlaku di kuil itu apabila ia dibuka kembali pada 17 November depan.

Satu petisyen untuk mengekalkan tradisi menghalang orang perempuan dalam usia datang haid’ daripada memasuki kuil itu akan didengar di Mahkamah Agung pada 13 November ini.

Jawatankuasa Bertindak Sabarimala (Sabarimala Karma Samiti) yang mengetuai protes terhadap perintah mahkamah itu memberi amaran kepada editor pertubuhan berita bahawa kehadiran wartawan wanita akan mencetuskan masalah.

“Isunya ialah pendirian kerajaan negeri yang berkeras mahu membenarkan orang perempuan berusia antara 10 hingga 50 tahun masuk ke dalam kuil. Ini bertentangan dengan tradisi serta adat Kuil Sabarimala. Malahan kemasukan wartawan wanita yang termasuk dalam golongan usia itu mungkin akan memburukkan keadaan, “ kata jawatankuasa itu dalam sepucuk surat yang disiarkan dalam media tempatan baru-baru ini.

“Oleh yang demikian kami mohon anda bersimpati dengan jutaan penganut agama Hindu dan tolong jangan hantar wartawan wanita yang berumur seperti kumpulan yang dilarang masuk ke dalam kuil datang ke Sabarimala,” bunyi surat berkenaan.

Pihak kerajaan menghantar lebih daripada 2,000 anggota polis termasuk pegawai wanita berusia 50 tahun ke atas untuk menjaga keamanan sebelum berlangsungnya majlis sembahyang menandakan ulang tahun kelahiran raja rantau Travancore iaitu Chithira Thirunal Balarama Varma.

Terletak di kawasan hutan, Kuil Sabarimala menjadi tumpuan penganut Hindu dari Kerala dan negeri bersempadan iaitu Andhra Pradesh, Tamil Nadu dan Karnataka apabila ia dibuka untuk tempoh tertentu sahaja.

Bilangan pengunjung dilaporkan semakin meningkat sejak tahun-tahun kebelakangan ini kerana keadaan prasarana yang lebih baik.

“Sejak berabad-abad lamanya Kuil Sabarimala hanya boleh dikunjungi penganut yang benar-benar tahu adat serta tradisi di kuil ini. Tapi selepas kemudahan prasarana bertambah baik pada tahun 1980an, semuanya itu berubah, “ Gita Aravamudan menulis dalam The News Minute, laman sesawang berita India.

Protokol yang mengikuti adat serta tradisi termasuk wajib berpuasa selama 41 hari, memakai kalungan manik dan mengelak dari mengambil alkohol dan tembakau.

Mereka akan membawa barangan seperti kelapa, serbuk kunyit, beras leper dan pelbagai buah-buahan kering di dalam beg khas.

Parti politik juga dilaporkan turut mengambil kesempatan daripada kekecuhan isu Kuil Sabarimala.

Kerajaan Kerala yang berhaluan kiri terpaksa melaksanakan perintah Mahkamah Agung tanpa memencilkan kumpulan elit Hindu konservatif yang membantah tradisi itu diingkari.

Hampir separuh daripada penduduk Kerala terdiri daripada penganut agama Hindu sementara sebahagian besar bakinya beragama Islam dan Kristian.

Diterjemah oleh Melati Mohd Ariff

(Bernama)

Share
Tags: Kategori: Wanita

VIDEO POPULAR