Susulan penarikan diri Adam Norrodin kerana perlu menjalani pembedahan segera, penunggang CEV Moto3 Petronas Sprinta Racing Izam Ikmal akan mengambil alih tempatnya pada Grand Prix Motosikal Valencia, yang merupakan pusingan akhir musim MotoGP 2018, hujung minggu ini.

Dalam kenyataan hari ini, pasukan itu berkata Izam, 16, yang kini berlumba bagi pasukan juniornya, diberi peluang itu untuk menambah pengalaman sebagai persiapan melangkah ke kelas Moto3.

“Kami ambil keputusan menurunkan Izam (Ikmal) bagi menggantikan Adam (Norrodin) untuk pusingan akhir MotoGP di Valencia. Kami tidak mengharapkan sesuatu yang luar biasa, tetapi lebih memberi peluang kepada Izam menambah pengalaman dan terus memajukan diri dengan jentera Moto3, terutama sebelum menyertai pusingan akhir CEV di Valencia, seminggu selepas itu.

“Lebih baiklah mengambil risiko dengan menurunkan penunggang pembangunan kami sendiri daripada mengambiI penunggang dari negara lain, jika tidak, bercanggahlah dengan tujuan mengadakan program pembangunan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepan (SIC) Datuk Razlan Razali dalam kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, Izam berkata keputusan itu membantunya mencapai apa yang diimpikan dan gembira dengan peluang yang diberi kepadanya oleh pasukan itu.

“Mula-mula sekali, saya ingin ucap terima kasih kepada Dato Razlan dan Zulfahmi (Khairuddin) kerana memberi peluang menakjubkan ini dan menjadikan impian saya suatu kenyataan, tidak lupa juga kepada semua di Petronas Sprinta Racing.

“Saya sungguh gembira dan teruja kerana dapat berlumba dalam kategori Moto3 di Valencia hujung minggu ini. Ia memberi banyak peluang kepada saya untuk lebih mengenali trek itu serta berlumba dengan penunggang Moto3 terkemuka lain. Saya akan lakukan yang terbaik. Saya juga ingin ucapkan kepada Adam Norrodin semoga dia lekas sembuh,” kata Izam.

Sementara itu, rakan sepasukan Adam dari Jepun, Ayumu Sasaki berazam melakar penyudah membanggakan apabila perlumbaan itu kembali ke Eropah bagi pusingan akhir untuk musim MotoGP 2018.

Mencatat kemajuan demi kemajuan sejak pertengahan musim ini, Sasaki mempamerkan kebolehannnya untuk bertarung di barisan depan dalam banyak perlumbaan, termasuk dua persaingan sengit untuk menaiki podium di Thailand dan Australia. 

Setelah mara semakin hampir dengan sasarannya, penunggang berusia 18 tahun itu tidak sabar untuk kembali ke Circuit Ricardo Tormo, di mana dia menamatkan semua musim dengan menduduki senarai lapan teratas pada tahun lepas.

“Saya tidak sabar menunggu perlumbaan akhir di Valencia. Valencia adalah antara trek kegemaran saya dan ini adalah peluang terakhir bagi saya merebut peluang menaiki podium pada 2018. Kami melalui tahun yang amat positif, saya rasa kami telah melangkah jauh ke hadapan dan oleh itu saya mahu tutup tirai musim ini dengan pencapaian cemerlang.

“Saya akan beri segala yang terbaik yang saya miliki. Saya fokus terhadap sasaran saya dan bersedia untuk bekerja keras,” kata Sasaki.

(Bernama)

Share

VIDEO POPULAR