Seramai 21,000 orang pengikrar derma organ direkodkan di Sabah sehingga 2017 iaitu 4.9 peratus daripada jumlah 426,000 orang pengikrar derma organ di seluruh negara, kata Pengarah Kesihatan negeri Datuk Dr Christina Rundi.

Beliau berkata perkembangan ini sangat memberangsangkan, jelas menggambarkan kesedaran orang ramai di Sabah mengenai keperluan menderma organ yang amat baik.

Katanya secara keseluruhan bilangan pesakit memerlukan pemindahan organ dalam negara semakin meningkat, namun bilangan pengikrar yang ingin menderma organ ketika ini masih ditahap rendah,

Menurutnya 400,000 pengikrar derma organ direkodkan di Pusat Sumber Transplan Nasional, namun, jumlah itu masih ditahap rendah berbanding seramai 28 juta penduduk Malaysia.

“Kebanyakan keputusan pengikrar derma organ sering mendapat tentangan daripada anggota keluarga. Seharusnya mereka yang berikrar untuk menderma organ ini mesti berkongsi maklumat dan meyakinkan keputusan mereka kepada anggota keluarga,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menutup Karnival Minggu Kesederan Pendermaan Organ Peringkat negeri Sabah 2018 di sini, hari ini.

Karnival yang dianjurkan buat julung kalinya oleh Hospital Keningau itu turut dihadiri Pengarah Hospital Keningau Dr. Loly Mealonny Geoffrey; Pengurus Perolehan Transplan Wilayah Sabah Dr. Cheah Phee Kheng; dan Ketua Anestesiologi Sabah Datin Dr. Tan Li Kuan.

(Bernama)

Share

VIDEO POPULAR