Kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak akan melanggar mana-mana perkara yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan berhubung isu meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kerajaan masih mempunyai masa untuk memutuskan pelaksanaan ratifikasi ICERD dan tidak perlu terburu-buru kerana perkara itu perlu dinilai sedalam-dalamnya kerana tidak mahu me­langgar Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan, sistem Raja Berperlembagaan, kedudukan Islam dan mana-mana hak termaktub dalam Perlembagaan.

“Malaysia mempunyai pelbagai kaum, agama dan budaya serta mengamalkan cara kehidupan yang berbeza dengan negara-negara lain, apa yang penting kita perlu menjaga kesejahteraan dan keamanan serta hubungan baik antara kaum yang ada di negara kita,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja ke Hab Pendidikan Tinggi Pagoh (HPTP), Pagoh, di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik dan Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian.

Pembangunan HPTP melibatkan kawasan seluas lebih 400 hektar dibangunkan secara berfasa sejak 2012, sehingga kini menempatkan empat institusi pengajian tinggi awam (IPTA) iaitu Universiti Tun Hussien Onn (UTHM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Politeknik Tun Syed Nasir Syed Ismail (PTSN).

Muhyiddin yang juga Menteri Dalam Negeri berkata PH adalah kerajaan yang bertanggungjawab dan segala keputusan yang akan diambil dalam pelaksanaan ratifikasi ICERD akan diteliti dan mengambil kira kepentingan semua pihak.

“Bagaimanapun di peringkat kerajaan perkara itu belum lagi menjadi keputusan yang muktamad. Sebarang bentuk pelaksanaan ratifikasi ICERD ini mesti ada proses konsultasi dengan pelbagai pihak sebelum ianya diputuskan oleh jemaah menteri. Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri sudah pun memberikan penjelasan dan pendirian mereka.

“Pendirian kita, kita telah mendapat banyak input daripada anggota Bersatu yang menyatakan kebimbangan mereka sekiranya perkara ini membawa kesan kepada negara dan menjadi kesulitan selain wajarkah ICERD diaplikasikan. Info yang kita terima, sebahagian besar tidak bersetuju,” katanya yang juga Presiden PH Johor.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini dilapor berkata rundingan melibatkan semua kaum akan dilakukan sebelum meratifikasi ICERD dan mengakui ia bukan perkara mudah memandangkan Malaysia merupakan negara dengan penduduk berbilang kaum dan masing-masing dengan kepentingan tertentu.

Dalam pada itu, Muhyiddin yang juga Anggota Parlimen Pagoh berkata sekurang-kurangnya satu Rang Undang-undang untuk meminda atau menghapuskan akta di bawah kementeriannya akan dibentangkan dalam Parlimen sebelum hujung tahun ini.

Beliau berkata akta-akta itu termasuk Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA), Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA), Akta Perhimpunan Aman 2012, Akta Hasutan 1948 dan hukuman gantung mandatori.

“Satu jawatankuasa telah ditubuhkan untuk meneliti kesemua akta yang akan dipinda atau dihapuskan dan jawatankuasa berkenaan akan memperhalusi secara terperinci perkara-perkara berkaitan kesemua akta tersebut,” kata Muhyiddin yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Gambir.

(Bernama)

Share
Tags: Kategori: Nasional

VIDEO POPULAR