Seorang pemandu lori dan anak perempuannya maut selepas lori dinaiki mereka merempuh sebuah treler di Kilometer 181 Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) dekat Maran, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Maran DSP Norzamri Abd Rahman berkata pada kejadian pukul 12.15 tengah malam itu, mangsa Mohd Shariff Abdullah, 35, yang beralamat di Permatang Badak Baru di sini, maut di tempat kejadian.

Anaknya Nur Alya Farisha, 13, pula disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini.

Kejadian turut menyebabkan dua lagi anak mangsa, Nur Darilya Erisya, 9, dan Mohamad Darwish Ashraf, 6, cedera dan dirawat di HTAA.

“Kemalangan dipercayai berlaku apabila lori yang dipandu mangsa ke arah Kuantan, hilang kawalan lalu melanggar belakang treler yang menyebabkan lori itu remuk teruk pada bahagian depan,” katanya semasa dihubungi di sini, hari ini.

Norzamri menambah pemandu treler Mohamad Shahrul Nizam Noordin, 23, dan kelindannya Safwan Md Zaki, 22, kedua-duanya dari Kuala Terengganu, Terengganu tidak cedera.

Beliau menambah jenazah Mohd Shariff dihantar ke Hospital Jengka untuk bedah siasat.

Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

(Bernama)

Share
Tags: Kategori: Tempatan

VIDEO POPULAR