Program ‘Robot Olympics Malaysia 2018’ anjuran Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) menjadi platform terbaik kepada pelajar dalam usaha kerajaan memperkasakan perkembangan Revolusi Industri (IR) 4.0 dalam negara seiring dengan negara maju yang lain.

Naib Canselor UTeM, Prof Datuk Dr Shahrin Sahib berkata, program berkenaan juga merupakan inisiatif dalam meningkatkan pengetahuan dan penguasaan pelajar dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) sekali gus melahirkan lebih ramai generasi muda berkemahiran tinggi.

“Pertandingan ‘Robot Olympics’ memberi penekanan terhadap aspek kreativiti dan inovasi dalam kalangan pelajar melalui pembelajaran berasaskan konteks yang menarik dan menyeronokkan. Ia juga dilihat mampu meningkatkan pemahaman serta memupuk minat pelajar terhadap bidang STEM.

“UTeM sentiasa memberi sokongan berterusan terhadap usaha-usaha memantapkan budaya ilmu dalam kalangan pelajar seiring dengan hasrat kerajaan dalam mencipta dan melahirkan insan yang holistik, cemerlang dan seimbang dalam segenap aspek keperluan,” katanya ketika berucap pada majlis penyampaian hadiah pertandingan ‘Robot Olympics Malaysia 2018’ di Bukit Serindit, di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UTeM, Prof Datuk Dr Mohd Razali Muhamad.

Shahrin berkata, pendidikan berteraskan STEM juga dilihat mampu menarik minat generasi muda masa kini yang majoritinya terdiri dari kalangan Generasi Y, yang diakui merupakan golongan yang agresif, celik IT, kreatif dan inovatif.

“Pendekatan STEM telah merubah proses pengajaran dan pembelajaran yang lebih menarik dan interaktif menerusi pendekatan dan kaedah pembelajaran yang berpusatkan pelajar, berasaskan projek, aktiviti yang multi-displin dan pembelajaran melalui kaedah inkuiri.

“Kita percaya menerusi pertandingan robotik ini, ia menyediakan platform pembelajaran STEM di samping meningkatkan kepakaran menggunakan peralatan berteknologi membina dan mereka cipta robot sekali gus menguasi bidang tersebut,” katanya.

Sebanyak 58 pasukan melibatkan 263 peserta dari 19 buah sekolah menengah negeri ini termasuk enam dari Johor, satu dari Perak dan Sarawak serta 12 sekolah rendah menyertai pertandingan yang dikelolakan Fakulti Teknologi Maklumat dan Komunikasi UTeM.

Kategori sekolah menengah dimenangi oleh Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Tinngi Cina Melaka manakala Sekiolah Kebangsaan Hutan Percha, Melaka memenangi katgeori sekolah rendah.

Antara acara yang dipertandingkan dalam Robot Olympics Malaysia 2018 itu ialah memanah, boling, ‘drag race’, sumo dan ‘tug of war’.

(Bernama)

Share

VIDEO POPULAR