Kumpulan Aeon menyasarkan sejuta pemegang kad kesetiaan rangkaian peruncitannya akan beralih kepada menggunakan aplikasi Aeon Wallet dan kad Aeon Member Plus Visa dalam tempoh setahun akan datang.

Pengarah Urusan Aeon Asia Sdn Bhd dan Aeon Co (M) Sdn Bhd, Shinobu Washizawa berkata sasaran itu berdasarkan kedua-dua produk terbaharu syarikat itu yang menggunakan konsep pembayaran tanpa tunai dilihat mampu menarik perhatian pelanggannya yang menepati trend terkini.

Katanya setakat ini, sebanyak enam juta pemegang kad kesetiaan berdaftar di enam rangkaian peruncitan Aeon dan kesemuanya disasar akan beralih kepada menggunakan kedua-dua produk baharu itu dalam tempoh tiga tahun.

“Satu contoh untuk Aeon Member Plus Visa Card dan Aeon Wallet, kedua-duanya mempunyai teknologi pembayaran tanpa tunai yang terkini, selain aspek keselamatan.

“Ia dibangunkan dengan Visa untuk memastikan pelanggan kami boleh membuat pembayaran tanpa perlu rasa bimbang. Kedua-dua produk itu selamat berikutan ia disepadukan dengan ciri-ciri keselamatan terkini daripada Visa dan memastikan urus niaga lancar,” katanya dalam ucapan pada majlis pelancaran produk tersebut di pusat beli-belah Aeon Shah Alam, di sini hari ini.

Pelancaran produk terbaharu Kumpulan Aeon itu disempurnakan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Dalam pada itu, Saifuddin menggalakkan lebih banyak rangkaian peruncitan dan peniaga menerima pakai inisiatif transaksi digital sedemikian pada masa akan datang yang selaras dengan perkembangan pesat sektor itu.

Memuji langkah Kumpulan Aeon melancarkan produk terbaharu itu, katanya pembayaran secara digital atau dompet elektronik mampu mempercepatkan proses pembayaran berbanding secara tradisional dan dilihat lebih mudah, cepat, selamat dan lancar.

“Mod pembayaran baharu ini bergerak seiring dengan fenomena digitalisasi yang telah menggerakkan banyak industri,” katanya.

Kumpulan Aeon mula menawarkan kad Aeon Member Plus Visa dan aplikasi Aeon Wallet kepada pelanggannya sejak Ogos lepas.

Kedua-dua produk itu berfungsi untuk pelanggan Aeon membeli-belah dengan pembayaran tanpa tunai dan pemegang kad boleh menambah nilai kad di kaunter rangkaian peruncitan Aeon, mesin pengeluaran wang Aeon Credit Service, menerusi perbankan internet serta aplikasi mudah alih Aeon Wallet, yang boleh dimuat turun menerusi Apple App Store dan Android Play Store.

Selain itu, pemegang kad Aeon Member Plus Visa turut layak menikmati gandaan mata ganjaran serta mendapat diskaun dan keistimewaan eksklusif lain di rangkaian Aeon, Aeon Big, MaxValu dan Aeon Wellness.

(Bernama)

Share
Tags: Kategori: Gaya Hidup

VIDEO POPULAR