‘Coconut Street’ adalah tarikan terbaharu yang akan ditampilkan dalam Ekspo Pertanian Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia 2018 (MAHA 2018) yang dijadual berlangsung di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang, Selangor bermula 22 Nov hingga 2 Dis ini.

Pengerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Ishak Ismail berkata ia adalah satu kelainan dalam MAHA 2018 yang akan dibawakan kali ini iaitu untuk memperkenalkan buah kelapa sebagai ‘fruit of the event’.

“Kita akan tunjukkan kepelbagaian penghasilan kelapa dan rantaian kegunaannya bermula daripada pokok kelapa itu sendiri.

“Malah, ia juga merupakan satu komoditi yang disenaraikan sebagai sumber rezeki baharu memandangkan ia adalah tanaman keempat terpenting di Malaysia,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata pokok kelapa sememangnya sudah terkenal dengan pelbagai kegunaan bermula daripada akarnya hingga ke pucuknya dan lebih dikenali sebagai tanaman seribu guna, antaranya sebagai produk kosmetik, ubat-ubatan dan kraftangan.

Sementara itu, Ishak berkata antara kluster lain yang akan diperkenalkan termasuklah AgroBazar Online iaitu penawaran 50 peratus diskaun daripada harga pasaran, Empayar Makanan, Gerbang Foodtruck, Castle of Fruits, dan Butik Agromas.

“FAMA juga akan turut menjual produknya secara terus daripada ladang bertujuan untuk membantu mengurangkan kos perbelanjaan orang ramai yang menginginkan barangan murah dan berpatutan,” tambahnya.

Ishak berkata MAHA 2018 yang akan diadakan selama 11 hari itu menyasarkan lebih 3.5 juta pengunjung.

(Bernama)

Share

VIDEO POPULAR